Monday, February 6, 2012

Ogos

Akan aku belah Ogos menjadi dua
Bukan kerana tidak yakin dapat menghabiskan angka 31
Namun kerana separuh darinya perlu disimpan
Dalam diari baru yang bermula di lewat pertengahan

Aku benamkan semalam yang ganas tanpa simpati
Aku lupuskan bahagia kelmarin tanpa ia perlu kembali
Yang tertinggal hanya halaman kosong
Untuk separuh Ogos yang ku simpan

Ku tunggu purnama indah pada Julai
Bagaikan ini kali terakhir melihatnya di pinggir Tanjung Lipat
Ku biarkan angin Tanjung Aru menampar diri
Umpama saat penghabisan untuk terus dikejami alam

Berhentilah kerana aku akan berlalu
Perpisahan hanyalah permulaan baru
Kehilangan itu adalah cara untuk menghargai
Kesakitan sebenarnya lebih memberi erti

Akan aku dekati kenangan jika nafas sudah di penghujung
Mengorek hitam dan putih untuk dicampur dengan warna baru
Tika kanvas kehidupan masih banyak yang belum bercorak
Saat sentuhan menjadi semakin abstrak untuk diri sendiri

Andai separuh terakhir Ogos tidak menjadi milikku
Buangkan ia sejauh yang mungkin
Kerana Ogos yang ingin ku simpan itu
Barangkali hanya halaman diari yang hitam.

*puisi ini pernah tersiar dalam Utusan Borneo pada Februari 2010

No comments:

Post a Comment