Thursday, March 29, 2012

manusia tidak akan pernah adil

MENIPU orang lain tidak akan pernah memberi kesengsaraan seperti menipu diri sendiri. Kerana itu, MissJay tidak pernah menyimpan apa-apa di dalam hati, selagi perkara itu tidak mendatangkan mudarat, terutamanya kepada orang di sekeliling MissJay. MissJay tidak mahu menipu diri.
  Tetapi, malam ini MissJay harus akui yang MissJay kecewa dengan tindakan sendiri. Kecewa kerana menipu diri sendiri yang MissJay tidak apa-apa dengan segala yang berlaku. Pada usia seperti ini, adakah MissJay masih begitu mudah untuk diperbodohkan?
  Berada di kedudukan ini, sudah berapa kali MissJay dipergunakan. Cuma kerana MissJay sedar, DIA mempunyai perancanganNya tersendiri memberikan laluan seperti ini kepada MissJay, maka MissJay tetapkan hati.
 MissJay sedar ikhlas itu adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dilihat manusia. Apatahlagi bila manusia meletakkan deifinisi ikhlas dalam pengertian mereka sendiri. Kerana itu, MissJay tidak berani menyebut perkataan ikhlas untuk apa yang MissJay buat melainkan berkata, MissJay buat kerana MissJay mahu buat dan tidak rasa terbeban dengannya.
  Cuma, MissJay kesal kesudian itu juga dipersoalkan sedangkan MissJay tidak pernah mahu menghakimi personaliti sesiapa seperti personaliti MissJay dihakimi. Kerana itu, biarlah MissJay berdiam dulu. Kerana MissJay tidak sanggup untuk membenci sesiapa.
  Dari kecil, MissJay dididik untuk tolong orang oleh arwah mum MissJay...sampai MissJay membesar seperti itu. Membantu tanpa berfikir kesannya kepada diri MissJay sendiri. Mungkin kerana itu, 'mereka' gembira untuk mengambil kesempatan.
  Tidak mengapa. Allah itu Maha Adil. Dan MissJay tidak rasa ada yang MissJay rugi jika ianya tidak berlaku seperti yang diharapkan..cuma MissJay terkilan..kerana sepatah perkataan yang wujud ketika ia tidak diperlukan...MissJay hilang kawan dan pastinya, menyukarkan MissJay untuk kembali bila dia perlukan MissJay nanti.
  Barangkali, menyalahkan MissJay untuk 'ketidakselesaan' yang berlaku boleh memberinya lebih ketenangan.Wallahualam.MissJay serahkan pada Yang Maha Kuasa.
  MissJay pula?Esok jumpa lagi orang baru, buat news baru dan dapat kawan baru. Hidup mesti diteruskan. Dalam hidup, ia bukanlah tentang berapa banyak kita dapat, tetapi sejauh mana kita berusaha menjadikannya yang terbaik untuk kita.
  MissJay sudah belajar menjadi 'kawan' yang terbaik, yang ada ketika diperlukan. Namun jika usaha MissJay tidak cukup.MissJay minta maaf kerana daya MissJay hanya setakat itu.
  Kalau menyalahkan MissJay boleh menghentikan celaru di hati dan mindanya, biarlah. MissJay sudah biasa.

Adios.
  

selangkah ke depan, dua langkah ke belakang..

MISSJAY buka kisah kali ni dengan perkara yang MissJay cuba elakkan selama ni. Ditanya status diri, tentang gerangan yang memiliki hati MissJay. Dan bagi wanita yang mendekati angka 3...perkara itu semakin menjadi taboo..rimas ambe!
  MissJay sedar, hidup berpasangan adalah impian semua orang, walau sekuat mana dia menidakkan hakikat itu. Cuma, MissJay belum sedia.
  Apa yang berlaku awal minggu ini, beberapa kawan meminta izin memberi nombor telefon MissJay kepada 'seseorang' yang mahu menawarkan 'perkenalan bukan kerana urusan rasmi'.
  Sejujurnya, MissJay akui, apalah yang MissJay ada untuk 'bersikap begitu sombong' dengan mana-mana lelaki. Cuma, MissJay sangat tidak selesa untuk berada dalam istilah 'berkawan' yang mereka tawarkan. Atau mungkin, ya, mungkin...mungkin kerana MissJay masih hidup dengan masa lalu.
 Kata seorang kawan, MissJay seorang yang konservatif. Katanya, MissJay agak kampungan dalam perkara seperti ini. Benar. MissJay akui yang MissJay kampungan, tetapi bukan konservatif, hanya tradisional.
 Sungguh, sepanjang MissJay membawa diri sejak usia 13 tahun, tradisional itulah yang menjaga MissJay, sehingga MissJay berada pada tempat MissJay berdiri sekarang. Dan MissJay rasa tidak adil kalau 'tradisional' yang MissJay pegang ini dipersalahkan.
  Pada MissJay, setiap orang harus ada pegangan mereka sendiri untuk terus membolehkan mereka melangkah ke depan tanpa, walau keadaan tidak seperti yang disangka,diharapkan atau dijanjikan.
  Ada antara kita terlalu 'berkira' dalam membuat pegangan atau bahasa mudahnya, prinsip. Berbanding maksudnya, ada yang lebih mementingkan kelasnya.
  MissJay tidak pernah rasa terbeban menjadi pendokong pegangan tradisional, malah berbangga kerana itu.
  Kerana pada MissJay, hidup ini hanya sekali dan kerana itu apa yang kita dapat, jadikannya yang terbaik dalam kelasnya sendiri, bukannya dibandingkan dengan perkara lain.
  Mungkin kerana itu juga, kerana MissJay telah 'menjadikan' dia yang terbaik pada kelasnya dalam hidup MissJay, ia menjadi sangat sukar untuk dilepaskan walaupun semuanya tidak lagi seperti yang diharapkan.
  Bak kata Adele, kadangkala ia berakhir dengan cinta dan gembira tetapi ada juga yang penamatnya adalah airmata. Pada MissJay berbanding teruknya berakhir dengan airmata, lebih teruk manusia yang tidak bersyukur bila ia berakhir dengan gembira.
  Walau MissJay pernah kecewa (dan masih trauma walau dah hampir sepuluh tahun), MissJay bersyukur kerana pengakhiran dengan airmata itu sekurang-kurangnya memberi ruang kepada MissJay untuk lebih bersedia, berusaha lebih gigih dan menghargai insan-insan di sekeliling MissJay.
 Bukan tidak mahu,hanya belum bersedia. Buat masa ini, semuanya masih baik-baik sahaja. MissJay masih mampu melaluinya, dengan pegangan tradisional MissJay.
 Kerana pada MissJay berbanding dengan takut ditinggalkan, MissJay lebih takut untuk berada dalam perhubungan yang tiada hujungnya. MissJay pasti ramai yang berpendapat seperti itu, melainkan dia tidak kisah untuk dikecewakan.

Adios.

Monday, March 12, 2012

dia..yang ku rindu

KAMI pada mulanya tidak berkenal satu sama lain tetapi sudah bertentang mata beberapa kali. Seingat MissJay, banyak kali juga mata kami bertemu tapi masing-masing masih segan untuk berbalas kata. Hanya senyum..itupun dia dahulu yang memberi kerana MissJay ketika itu mungkin masih bersikap perengus...
  Pertemuan kami adalah secara tidak sengaja. Kerana tugasan. Dan dia dengan beberapa rakan lain menghulur bantuan kepada MissJay yang tidak cukup tangan melayan kehendak tanggungjawab. Itulah bermulanya perkenalan sebenar kami.
  Katanya, dia telah lama mahu mendekati MissJay, cuma masih tidak pasti dengan riak muka MissJay yang tidak pernah membayangkan mahu didekati olehnya atau tidak. Katanya, MissJay bermuka sombong. Alala..
  Bermula saat itu, banyak yang kami lalui bersama. Mungkin kami sama-sama pernah merasa kehilangan orang tersayang, maka kami semakin rapat dan kami banyak berkongsi perkara tentang kehidupan, sehingga apa yang MissJay tidak mampu ceritakan kepada orang lain.
  Jika zaman sekolah MissJay ada AKNM, di universiti MissJay ada dia (dan tentunya beberapa orang lagi) yang sentiasa memahami perjalanan hidup MissJay yang agak sukar. Melihatnya sekuat itu menempuh kehidupan membuat MissJay semakin kuat untuk memiliki segulung ijazah dan membuktikan pada semua yang  'anak buangan' juga mampu mengecap kejayaan.
  Kami berkongsi segala suka duka, itu MissJay rasa kerana MissJay membiarkan dia masuk dalam hidup MissJay. Namun MissJay tidak pasti sama ada MissJay berjaya masuk dalam hidup dia atau tidak. MissJay sendiri rasa yang sepanjang perkenalan kami, MissJay sangat pentingkan diri, hanya bercerita tetapi jarang mendengar ceritanya. Sungguh MissJay ingin minta maaf kepadanya.
   Kadangkala MissJay sendiri rasa MissJay SEPERTI melupakan dia dalam beberapa perkara, dan dia pasti merasa seperti ditinggalkan. Namun, kerana MissJay tidak mahu dia berhadapan risiko yang MissJay ambil, MissJay biarkan dia dalam tanda tanya dan diburu keliru. Tetapi MissJay yakin dia tahu yang MissJay tetap akan kembali kepada persahabatan kami.
  Kepada dia, maaafkan MissJay. Sungguh, diri ini begitu banyak kekurangan namun dia sentiasa ada dan memahami diri MissJay dengan ikhlas.
  Namun, MissJay tetap harap dia memahami bahawa segala yang kami lalui selama ini, MissJay amat hargai dan dia adalah antara anugerah paling bernilai dalam hidup MissJay. Semoga dia sihat selalu dan diberikan kebahagian oleh AlLah kerana dia berhak untuk mendapatnya.
  Sungguh, banyak duka yang MissJay kongsikan dengannya namun banyak bahagia yang dia berikan pada MissJay. Barangkali inilah nikmat persahabatan, menerima dalam apa juga keadaan dan sentiasa ada untuk menyokong.
  Kerana itu, MissJay harap dapat pulang dan mengeratkan semula hubungan ini. Kerana MissJay tidak sanggup untuk membiarkan segalanya hanya jadi kenangan. Dia tidak patut untuk jadi kenangan jika mengambilkira segala yang berlaku antara kami.
  Dialah..Nik Nurulakmal Ismail, teman, sahabat dan guru yang banyak mengajar 'ketiadaan menjadikan kita lebih kuat dan lebih menghargai apa yang kita ada'.
  Terima kasih, kerana sudi menjadi teman kala suka dan duka. Terima kasih juga kerana memberi tanpa meminta dibalas.

dia memperkenalkan MissJay kepada lebih ramai insan yang menjadi sahabat MissJay...

dia juga yang sentiasa mengambilkira MissJay dalam setiap perancangan..

AlLah lebih tahu betapa MissJay menghargai dia..

Sunday, March 11, 2012

AKNM, tangisku keharuan...

SELAIN keluarga, siapa yang mampu buat anda menangis?
  Bagi MissJay, berbanding menangis kerana keluarga atau meratapi nasib diri, MissJay lebih banyak menangis kerana terharu dengan perhatian dan keprihatinan sahabat-sahabat sejak zaman sekolah hinggalah sekarang. Tetapi, dalam banyak-banyak MissJay menangis, hari ini adalah antara yang paling mengharukan.
  Kisahnya, selepas mandi pagi tadi, MissJay menerima video-call daripada seorang sahabat, Ayu namanya. Melihat muka Ayu pada paparan skrin buat MissJay tertanya-tanya sebab pada malamnya MissJay sudah mimpi jumpa sahabat AKNM MissJay itu.
  Paparan skrin tiba-tiba berpindah ke wajah seorang lagi ahli AKNM, Saie, dalam persalinan pengantin. Baru MissJay teringat, hari ini Saie akan bernikah. Seorang lagi ahli AKNM menamatkan zaman bujang selepas dua yang terdahulu tanpa MissJay sempat berada di negeri kelahiran.
  Sungguh, ketika zaman sekolah lagi MissJay sudah berjanji pada diri bahawa MissJay akan hadir di majlis kahwin mereka sebabnya...kerana mereka MissJay masih hidup.
  Ada yang berkata, itu semua kuasa Tuhan, MissJay hidup kerana AlLah masih bagi MissJay peluang tapi mereka :Ayu, Ana, Jue dan Saie yang menjadi sumber kekuatan MissJay selepas mak MissJay tiada dan MissJay diusir oleh mak tiri.
  Merekalah yang bergilir-gilir mengajak MissJay pulang ke rumah mereka setiap minggu kalau kami balik dari asrama hingga MissJay dapat meneruskan hidup, belajar dan seterusnya masuk universiti. MissJay ingat sampai bila-bila.
  Kala MissJay tiada duit belanja sekolah, mereka dan keluarga, cikgu-cikgu (dan sudah tentu beberapa rakan lain) yang prihatin memberi makanan yang menjadi darah daging MissJay kini...MissJay takkan lupa.
   Kerana itu, bila melihat wajah mereka di skrin telefon, dan bila mereka kata 'bagusnya kalau kau ada'..MissJay tidak dapat menahan air mata yang sudah MissJay jangka akan tumpah juga kalau mendengar suara mereka. Selepas Ana dan Jue, ini perkahwinan ketiga yang MissJay tangisi...bagi MissJay, mereka lebih rapat daripada adik beradik MissJay sendiri.
  Katanya, mereka faham kenapa MissJay tidak dapat balik. Mereka faham apa yang MissJay lalui atas tindakan cetek akal abah MissJay dan meminta MissJay bersabar atas segalanya. Ya AlLah, anugerah persabahatan ini adalah paling berharga dalam hidup MissJay.
  Sungguh, MissJay takut kehilangan mereka. MissJay takut menjadi manusia yang tidak kenang budi. Dan MissJay takut kalau semuanya hanya tinggal kenangan sedangkan kami adalah persahabatan contoh suatu ketika dahulu.
  Ayu, Ana, Jue dan Saie...kalau MissJay perlu korbankan nyawa untuk mereka, MissJay tidak akan berfikir dua kali untuk memberik jawapan 'YA'. Kerana MissJay sayangkan mereka lebih dari segalanya.
   Terima kasih sahabat...bukan sahaja kerana memungut aku dan membersihkan aku hingga aku menjadi diriku sekarang, tetapi juga kerana tidak meninggalkan aku walau apa pun yang berlaku.
  Sungguh, kalau nyawa ini sebagai galang gantinya, tidak aku berfikir dua kali untuk menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga.
  Terima kasih, sahabatku, Ayu, Ana, Jue dan Saie.

hartaku dunia akhirat...

Thursday, March 1, 2012

akhirnya ku jejak ke sana

MEMANG mengantuk tapi hidung dan kerongkong yang rasa pedih menghalang MissJay melelapkan mata walau jam sudah melewati angka 12. Memang sehari dua ni tak cukup dibuat oleh hidung dan kerongkong yang sangatlah tidak selesa keadaannya ini.
  Sebab takde benda lain yang boleh MissJay buat, MissJay kongsikan lah antara pengalaman paling berharga MissJay sepanjang berada di Sabah.
   Percaya atau tidak, salah satu impian MissJay ketika masih berada di negeri ini adalah untuk ke stadium (selepas naik gunung Kinabalu yang belum tertunai). Alhamdulillah, akhirnya MissJay menjejakkan kaki ke stadium Likas, melihat perlawanan Harimau Malaya dan Sabahawks.
  MissJay  bukanlah peminat tegar boleh sepak. Cuma MissJay suka tengok semangat juang sesetengah pemain yang tidak berputus asa walau terpaksa henjut-henjut di tengah padang. Bak kata 'biarlah ke titisan darah yang terakhir.' Dan semangat juang itu benar-benar ditunjukkan oleh pasukan Sabah dalam perlawanan persahabatan dengan Rimau Melaya hari tuh.
  Sebenarnya, MissJay masih tertanya-tanya..kenapa Rimau Melaya eik?AiMin, kenapa bukan Rimau Malaysia?Lebih mesra bunyinya..dan sekarang MissJay terperasan lagi satu perkara, pasal pe takde pemain Sabah dalam pasukan tu? Bukan ada motif apa pun..saja tanya.Tak salah kan?
  Walau apepun, malam itu, MissJay akan ingat sampai bila-bila...Bagaimana terujanya MissJay dapat menjejakkan kaki ke stadium likas dan bagaimana hepinya MissJay dapat sama-sama menyorak pasukan digemari (ofcourse la Sabahawks). Melihat Safee dan anak Che Mat dimasukkan beberapa SAAT sebelum perlawanan tamat memang pissmeoff lah. Bukan apa, macam mereka memperkecilkan pula semangat juang pasukan Sabah.
  Papepun, tanpa mengira kalah menang yang mememang adat perlawanan, MissJay adalah orang yang paling menang..Sebab berjaya makan KFC percuma sebelum perlawanan, masuk stadium percuma kerana Pas Media dan pengangkutan percuma sebab naik kereta kawan.
  Yang penting MissJay nak merasa masuk stadium, buat vawe dan tengok pasukan Sabah main...Menang atau tidak, biasalah..bak kata pepatah, untuk sabut timbul untung batu tenggelam...tak gitu?

  Dan sebenarnya, apa yang paling mengharukan MissJay? MissJay dapat duduk dalam ruang berhawa dingin lagi...hihihi..tapi memandangkan tidak sama perasaan berada di ruang terbuka dan tertutup (bilik media), MissJay sertai mereka yang berada di luar..punyalah syokkk..
  Jadi moral yang mahu MissJay kongsikan di sini adalah, jika mengimpikan sesuatu, berusahalah untuknya dan dengan bersusah payah dan seksaan menanti, segalanya menjadi lebih indah (macam MissJay dapat masuk stadium selepas tujuh tahun).
  Kedua, kemenangan yang sebenar adalah apabila berjaya membuat orang ramai terus yakin kepada diri kita. Macam orang Sabah yang kepada pemain Sabahawks tu.Tak gitu?
  Ketiga, jadilah orang media supaya tidak payah beli tiket (jangan tiru aksi ini..hahahaha)

Adios