Wednesday, April 25, 2012

apa yang ditunggu?

BERAPA lama anda sanggup menanti dalam hidup anda? Kalau MissJay, jawapannya bergantung kepada apa yang MissJay nantikan. Dan biasanya, kalau perkara itu besar maknanya, maka MissJay sanggup menunggu lama.
  Tetapi, apa pula yang mendefinisikan 'lama'? Ada orang kata sanggup tunggu beribu tahun (kononnya) namun baru sahaja dua minit sudah panas punggung. Tetapi ada juga yang mengakui sanggup menunggu tetapi sebenarnya tidak kisah langsung.
  Cerita pasal tunggu menunggu, nanti menanti ini, MissJay sendiri bukanlah seorang penyabar mana untuk menunggu dalam tempoh yang lama. Kerana itu MissJay amat kagum pada beberapa kawan yang begitu sabar menunggu terutamanya, menunggu seseorang (atau jawapan seseorang).
  Penantian MissJay tidak lama mana. Hanya sepuluh tahun. Dan jawapan yang MissJay nantikan hanya MissJay perolehi kira-kira sebulan lalu.
  Biarpun penantian itu tidak seperti yang diharapkan, Alhamdulillah MissJay ucapkan untuk pengalaman penantian itu dan syukur kepadaNYA juga kerana memberikan MissJay kekuatan untuk melalui pengakhiran yang seperti ini. Sungguh, DIA Maha Mengetahui apa yang tersurat dan tersirat di sebalik semuanya.
  Berbalik kepada cerita menanti ni, MissJay berpendapat, sesiapa pun tidak kisah untuk menunggu lama kalau perkara yang ditunggu itu 'penting' bagi mereka, dan sebaliknya pula jika sesuatu itu tidak penting.
  Tidak penting? MissJay cuba mendefinisikan maksud tidak penting tetapi gagal.
   Mungkin kerana sikap MissJay yang menghargai dan menyayangi semua perkara membuatkan MissJay sentiasa teruja untuk melalui atau berhadapan sesuatu. (Mungkin kerana itu MissJay sukar membenci sesiapa).
  Kerana itu, pada pendapat MissJay, tiada perkara yang tidak penting selagi kita hidup. Cuma, yang menyebabkan kita rasa sesuatu itu tidak penting adalah kerana ia tidak menepati apa yang kita jangkakan, mahukan atau harapkan.
  Dan pada MissJay juga, lama atau tidak penantian itu juga bergantung kepada apa yang kita tunggu atau nantikan. Percaya atau tidak, kadangkala kerana satu SMS, kita rasakan setiap gerakan jarum jam bagai mencucuk hati untuk mencari alasan di sebalik keadaan itu (contoh).
  Kalau sesuatu itu memang kita dambakan, mungkin menunggu dua minit pun rasa seperti dua tahun (kerana itu kita katakan sanggup tunggu sehingga bertahun-tahun).
  Bagaimanapun, harus sedar bahawa sesuatu yang kita tunggu tidak semestinya penting (macam menunggu jawapan cinta dari orang yang jelas tidak mungkin), dan sesuatu yang penting kadangkala tidak perlu kita tunggu untuk memilikinya (jodoh tersepak??)
  Buka mata dan hati, lihat sekeliling. Kalau yang 'tidak menyenangkan boleh berlaku pada perkara baik yang terancang', tidak mustahil 'yang menyenangkan boleh berlaku pada perkara yang tidak dirancang'.
  Dan, MissJay fikir, terlalu mengharap sesuatu datangnya seperti yang kita mahu akan menghapuskan rasa suspen, keindahan kejutan dan nilai tiba-tiba sesuatu.
   Jadi, tidak perlu terlalu memperhamba diri pada penantian..teruskan hidup, dan redha dengan takdirNYA. InsyaALlah, ada rezeki kita.Berusaha, berdoa dan tawakkal...:-)

Adios.

Tuesday, April 24, 2012

Menghargai anugerahNYA


MALAM semakin larut tetapi hanya jasad yang akur pada penat. Hati dan minda sungguh tidak bersama diri ketika ini.
   Ini bukan kali pertama resah MissJay menggunung seperti ini, dan MissJay pasti ini juga bukan kali terakhir.
  Bukan kali pertama kerana MissJay selalu susah hati apabila mengetahui insan-insan di sekeliling MissJay berhadapan masalah, terutamanya masalah kesihatan.
  Kenapa pula bukan kali terakhir? Kerana selagi MissJay bernafas, MissJay akan sentiasa bereaksi seperti ini.Kerana MissJay tidak pasti adakah MissJay mampu redha dengan setiap ujianNYA.
  Mummy MissJay bermula dengan demam, tetapi hanya seminggu selepas 'demam', dia dijemput olehNYA. Mungkin memori itu yang turut menyesakkan otak MissJay.
  Kerana susah hati itu, barangkali malam ini MissJay tidak mampu melelapkan mata.
  Tetapi, kalau ditanya apakah status insan yang telah menyebabkan rawan MissJay ini bertamu, MissJay tiada jawapan jelas. Melainkan jawapan, dia salah seorang yang MissJay syukuri kerana dipertemukan dalam hidup yang sesingkat ini. Ya, walau dengan apa nama sekali pun.
  Pada MissJay, kita tidak perlu terlalu berkira dengan meletakkan status yang berbeza-beza untuk seseorang dalam hidup kita. Maksud MissJay, bukan perasaan 'ekslusif', cuma rasa penghargaan.
   Mungkin akan ada yang membantah pendapat MissJay. Namun ini sekadar pendapat.
   Bukan apa, pada MissJay, dalam hidup yang tidak selama mana ini, bukankah lebih baik untuk kita menerima dan menghargai seseorang dengan seadanya dia?
   Allah menemukan kita dengan seseorang, walau dengan apa nama sekali pun, pasti ada manfaatnya. Dan jika kita mahu menjadi salah seorang yang terbaik yang ditemui merka, kita harus lebih dulu kena jadi yang terbaik.
  Cuma, jika hanya kita yang berusaha pula, bagaimana? Itu sebenarnya tidak menjadi masalah kerana hak kita untuk menyenangi seseorang, dan menjadi hak mereka untuk menyenangi kita sehingga ke tahap mana.
  Lumrahnnya, kita pasti akan lebih sayang orang yang rapat dengan kita, kita pasti membenci orang yang mengata kita. Namun, secara tidak sedar, kita menjadi manusia lebih baik dengan kata-kata orang yang membenci (jika ada) itupun kalau kita melihat kata-kata mereka dari sudut positif.
  Pada MissJay, orang yang tidak suka pada kita mencetuskan cabaran dalam diri kita, dan orang yang menyukai kita memberikan sokongan. Jadi, tiada bezanya juga kepentingan mereka. Maksudnya, kalau tiada cabaran, apa yang perlu disokong? Dan kalau tiada sokongan, bagaimana mahu menempuhi cabaran?
  Jadi, kerana itu MissJay katakan, walau dengan nama apa mereka datang - musuh atau sahabat, apatahlagi keluarga - semua ada peranannya, cuma bergantung kepada bagaimana kita melihat kewujudan mereka.
  Percayalah, tidak akan rugi untuk menyayangi setiap makluk ciptaanNYA kerana itu adalah salah satu tanda kita menghargai apa yang diciptaNYA untuk menemani perjalanan kita yang sementara di muka bumi ini.
  Kasih dan sayang adalah amat suci. Sedangkan namaNYA juga adalah MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG..jadi, seharusnya ia tidak mendatangkan keburukan kepada manusia.
  Namun, rasa berat hati MissJay pasti akan menemani hingga pagi. Tapi tetapi sabar melalui malam dengan redha, tanpa mendoakan matahari yang ada aturannya sendiri, untuk muncul lebih cepat.

Adios.

Thursday, April 19, 2012

Sabah Negeri Indah, Masyarakat Peramah

Kota Kinabalu ibu negeri
Pintu masuk negeri tercinta
Bangunan baru sana sini
Kini tumpuan seluruh dunia.

Dari Putatan ke Kuala Penyu
Beaufort disinggah dalam perjalanan
Angin Labuan membisik rindu
'Limpas' Menumbok salam dikirimkan.

Kopi Tenom memikat rasa
Taman Pertanian syurga buah
Bawa teman bawa saudara
Musim buahan memang meriah.

Keningau terkenal kayu manisnya
Semerbak ke Papar  juga Membakut
Kuih cincin tidak kurang hebatnya
Sekali dicuba terus terpaut.

Dari Sipitang hingga ke Kudat
Menghijau alamnya, ramah orangnya
Indah Sabah memang lah hebat
Disebut orang seantero dunia.

Jangan lupa singgah Kundasang
Puncak Kinabalu menggamit selalu
Lirikan 'sumandak' sentiasa dikenang
Diizin masa kembali lah bertamu.

Sandakan daerah kedua besar
Semporna juga tiada tandingan
Dikunjung pelancong dalam dan luar
Pulau Sipadan jadi bualan.

Sungai terpanjang Sungai Kinabatangan
Mandi lumpur di Lahad Datu
Dilimpah anugerah kurniaan Tuhan
Bangga jadi warga Negeri di Bawah Bayu.

Tetap terpelihara dilingkar pembangunan
Pekan Matunggong dan Kota Marudu
Sawit subur kiri dan kanan
Daerah terbesar Tawau juga begitu.

Dari Kota Belud singgah di Tuaran
Menjamu Mi menu digemari
Singgah menyampai  cerita teman
Entah bila bertandang lagi.

Rakan di Beluran bertanya berita
Berpesan yang jauh dilupa jangan
Kaamatan nanti turun ke kota
Sama-sama tambah kemeriahan.

Penghujung Mei di Penampang
Sungguh meriah tidak terkira
Dari Tambunan jangan lupa datang
Semarakkan semangat kita bersaudara.

Cuti-cuti di Sabah
Mesra Tanah di Bawah Bayu
Negerinya indah orangnya peramah
Sekali datang dikenang selalu.

Hakcipta terpelihara oleh Diriku Nan Ayu...
....MissJay

iLoveSabah 3 - Sub Stesen Serinsim Taman Kinabalu: indah yang tersembunyi

MISSJAY akui, perjalanan KK ke Sub Stesen Serinsim ini amat memenatkan walaupun MissJay hanya bergelar penumpang sepanjang perjalanan. Bayangkanlah pemandu kami yang bertahan tidak tidur sepanjang perjalanan ketika itu.
  Namun, tidak kira datang sebagai apa, MissJay pasti semua yang berjaya sampai ke sini pasti teruja.
   Terutamanya kepada pencinta alam hijau macam MissJay, dapat menjejakkan kaki ke sini bagai mimpi jadi nyata. Sungguh, alam adalah terapi terbaik jika kita penat mengharung kehidupan. Jadi, tidak salah bermanja dengan alam walaupun datang atas dasar kerja. :-)
  Disambut dengan pemandangan hijau, dengan aliran sungai Serinsim yang sangat menggoda, siapa pun tidak sabar 'berkenalan' dengan destinasi ini. Cuma kalau hujan, mungkin anda dapat melalui pengalaman cabaran 4WD di kawasan berlumpur. Tapi, memang seronok.
  Terletak kira-kira 38km dari pekan Kota Marudu, tempat ini memang jauh dari hiruk pikuk kota. Bagus untuk sesiapa yang mencari ketenangan. Lagipun, hanya ada sebuah perkampungan kecil dekat sub stesen, tidak sunyi tetapi tidak sibuk.
  Tidak cukup dengan kehijauan alamnya, Taman-Taman Sabah menjadikan kawasan ini sebagai hab penyelidikan rusa. Jadi, kalau datang ke sini, mungkin dapat tengok rusa. Kalau bukan semua yang sepuluh ekor tu, mungkin juga beberapa darinya.
  Ketika MissJay ke sini, tiada talian telefon. Mungkin kerana jaringan masih lemah. Tetapi bagus juga bagi mereka yang ingin merasai kehidupan cara 'asli'..tiada gangguan panggilan telefon.Bukankah? :-)
  Sebelum ini, tarikan di sini hanyalah Gunung Nambuyukong, Batu Lebah, Gua Kelawar, Air Terjun Misumpak dan Makam Si Gunting
  Seingat MissJay, Sub Stesen Serinsim terletak di utara Taman Kinabalu berada di antara dua  buah sungai iaitu Sungai Serinsim dan Sungai Kinarom. Airnya punyalah jernih (kalau tidak hujan).
  Vegetasi hutan terdiri daripada hutan sekunder tanah rendah kerana terbakar akibat kemarau yang melanda Sabah pada 1997.
  Ceritanya, sebahagian sub stesen ini pernah dibuka untuk tujuan pertanian oleh penduduk kampung sebekum diwartakan sebagai kawasan Taman Taman Sabah pada 1992.
  Ketika ini, antara kemudahan yang disediakan adalah asrama Kanarom yang memuatkan 21 orang, tiga buah chalet yang masing-masing memuatkan enam orang dan tapak perkhemahan.
  Anda perlu tenangkan fikiran? Silalah ke Sub Stesen Serinsim. Bagus untuk bermuhasabah diri. :-)

anda harus alaminya sendiri :-)

mandi manda atas bekas jambatan konkrit..
padang seluas pemandangan
si seksi yang menunggu pengunjung bertuah untuk bertemu mata :-)
  Pada MissJay, tidak perlu berhabis untuk melihat keindahan yang ada di luar sedangkan kita memiliki apa yang orang lain tiada. Cuma kita tidak nampak.
  Jadi, dah nampak kan? Apa kata kalau anda alaminya sendiri. Lagi siokkkk bilang orang Sabah.
bersih, segar dan bila-bila masa :-)

Tergoda? :-)
Adios.

iLove Sabah 2 - Mesilau Nature Resort yang hijau dan segar

DALAM banyak-banyak tempat yang MissJay pernah pergi, inilah tempat yang tersenarai antara yang terbaik bagi MissJay.
   Berada pada ketinggian kira-kira 2, 000 meter dari aras laut, Mesilau Nature Resort sebenarnya terletak di kaki Gunung Kinabalu.
  Apa yang menari di Mesilau Nature Resort (MNR)? Jom kita korek...
  Kepada pendaki gunung Kinabalu yang mendaki melalui Mesilau, MNR mungkin menjadi persinggahan mereka sebelum mendaki.
  Tetapi ada juga yang datang ke sini sekadar untuk bercuti dan menikmati kedinginan dan kehijauannya. Dengan suasana yang sunyi, amat sesuai untuk bulan madu. :-)
   Sebenarnya, kepada pendaki, laluan dari Mesilau adalah lebih mencabar walaupun lebih landai dari Timpohon Gate, Taman Kinabalu. Kenapa? Sebab jaraknya lebih jauh dan bengkang bengkok.
   Bukan sahaja sesuai untuk percutian, MNR juga ada kemudahan untuk organisasi kerajaan atau swasta menganjurkan kursus. Sebab itu ada juga sekolah dan universiti mengadakan program mereka di MNR.
   MissJay berpeluang bermalam di sini sebelum ini. Memang 'awesome'. Sangat-sangat 'awesome'. Dinginnya boleh tahan. Apatahlagi pada waktu pagi.
  MissJay bermalam di asrama yang ada sistem pemanas dan dapur yang boleh disediakan atas permintaan pengunjung. Bayaran penginapan antara RM100-RM150 satu malam.
  Setakat ini, kemudahan penginapan yang ada seperti Bishop's Head Resthouse (40 katil), Crocker Range Lodge (36 bilik), Witti Range Lodge (4 unit), manakala masing-masing satu unit bagi Ugly Sister's Peak Lodge, St. John's Peak Lodge dan Low's Peak Logde.
   Bayaran penginapan pula antara RM100 hingga RM925 (dengan sarapan).
   Di sini ditawarkan program untuk pengunjung seperti Nature Walk dan Naphenthes Garden Tour dengan bayaran RM5 untuk pelancong tempatan dan RM10 pelancong asing (dewasa) dan RM2.50 (tempatan) dan RM5 (asing) untuk bawah 18 tahun.
  MissJay pernah tanyakan kepada penduduk di sini, kenapa namanya Mesilau?
   Kata mereka, Mesilau berasal dari perkataan masyarakat Dusun 'silau' yang bermaksud 'kuning' yang merujuk kepada keadaan air sungai yang mengalir di kawasan ini.
   Katanya, menurut cerita, air berkenaan menjadi kuning kerana daun-daun reput di bahagian punca mata air dan sepanjang anak sungai.
   Benarkan kisah ini? Jika anda ingin pastikan sama ada air sungai di Mesilau ini 'silau' atau sebaliknya, luangkan masa berkunjung ke Mesilau Nature Resort, Kundasang ini.
   Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan di Mesilau Nature Resort, orang ramai boleh menghubungi Sutera Sanctuary Lodges di talian o88-318 888 atau emelkan kepada info@suterasanctuarylodges.com.my atau dengan melayari laman web www.suteraharbour.com
  MissJay sudah tengok..tiba giliran anda pula. :-)
segarnya sukar digambar...silalah datang.. :-)

di bawah sana pekan kundasang...tapi di sini padang golf..:-)

alam sememangnya terapi terbaik untuk jasmani dan rohani (bukan cik rohani ok).. :-)
Bagaimanapun, MissJay mohon maaf..gambar asrama dan chalet yang ada sudah 'terdelete'..Jika anda berminat dan berkelapangan..silalah google :-)

Adios.

Wednesday, April 18, 2012

iLoveSabah 1 - sipadan..rupa seindah khabarnya...

SEKALI seumur hidup. Itulah ayat terbaik untuk mendefinisikan peluang yang MissJay pernah dapat ini. Seingat MissJay, ianya sekitar penghujung April 2010.
   Ketika segelintir orang hanya berimpian dapat ke pulau yang satu ini, MissJay dengan bangga dapat katakan yang MissJay pernah ke sini. Dan pernah bermalam di sini. Empat hari? :-)
   Walaupun tiada lagi resort selepas dirobohkan pada 2005, peluang berkhemah di sini amat berharga.
   Secara ringkas, MissJay perkenalkan pulau permata Sabah ini.
   Terletak di laut Sulawesi, di luar Pentas Sunda menjadikan Sipadan sebagai pulau lautan tunggal di Malaysia. Bangga orang Sabah!
   Menurut sejarahnya, Sipadan terhasil dari gunung berapi yang memuncak secara menegak dari dasar lautan pada kedalaman melebihi 500 meter. Bentuknya boleh diibaratkan macam cendawan, sekelilingnya laut dalam.
   Berdasarkan sejarah juga, pulau ini terbentuk dari letusan gunung berapi pada zaman Tertiary dan Quartenary di beberapa tempat di Semenanjung Semporna.
   Kalau nak tahu, Sipadan telah diwartakan sebagai Taman Pulau Sipadan pada 1 Oktober 2009 di bawah Enakmen Taman-Taman 1994. Jadi, tiada lagi aktiviti menangkap ikan atau pencerobohan asing seperti sebelumnya. Terkawal, apatahlagi dengan kehadiran polis marin dan tentera di pulau ini. Memang selamat.
   Mungkin ada yang sedia tahu, Sipadan terkenal sebagai destinasi menyelam pilihan pencinta dunia dasar laut dunia.
  Tetapi, memandangkan MissJay tidak berapa gemar air masin dan tiada lesen menyelam, MissJay hanya kongsikan gambar dari darat sahaja. :-)
  Sepanjang MissJay berada di pulau ini pun, ramai penyelam luar negara yang datang. Dan rata-ratanya memberikan reaksi terbaik tentang pemandangan dasar lautnya.
   Tetapi, apa yang perlu kita tahu adalah pulau ini sebenarnya tidak luas. Hanya 16.4 hektar dengan daratan terumbu karang seluas 208 hektar, iaitu 1.4km panjang dan 1km lebar.
   Apa yang boleh ditemui di sini? Sebagai anak Terengganu, MissJay amat teruja bertemu penyu di sini. Ya, penyu. Sebab pada malamnya kami 'skodeng' penyu bertelur untuk dipindahkan ke pusat penetasan penyu. (Miki - nama anak penyu yang MissJay lepaskan malam tu).
   Dan lebih menarik, sepanjang snorkeling di pinggir pantainya, MissJay dapat lihat pelbagai batu karang dan rumput laut yang mengujakan.
  Sebab itu, tidak hairan kalau Sipadan diisytiharkan sebagai salah satu daripada lima lokasi selam skuba terbaik dunia.
  Sayangnya, Sipadan kini diancam hakisan dan entah berapa lama lagi pesisirnya boleh bertahan.
   Sekarang pun, Taman-Taman Sabah hadkan hanya 120 pengunjung sahaja boleh masuk ke sini dalam sehari dan tiada lagi menyelam malam.
   Memandangkan pulau ini diancam hakisan, jika anda berpeluang (dan ada duit lebih) bolehlah berkunjung ke sini.Ambil gambar banyak-banyak sebab tidak mungkin ada pulau lain dapat menandingi keindahan Sipadan.
   Sungguh, MissJay amat bertuah.


asal saja berani dan pandai berenang untuk 'bermain' di tebing

penyu yang sempat kami 'skodeng'

sila percaya...YAYYYYY
banyak pokok-pokok tumbang kerana hakisan...

senja di Sipadan..Maha Suci Allah. Allah Maha Besar.

Terima Kasih kepada Taman-Taman Sabah yang membawa MissJay dan beberapa rakan media lain.

Adios.

Sabah di hatiku

12 kotak. Itu jumlahnya buat masa ini. Namun, itu hanya kuantiti kasar. Jika dihitung, kotak yang sebanyak 12 itu tidak akan mampu menampung segala yang MissJay lalui di negeri bertuah ini.
   Sungguh, MissJay amat-amat bersyukur. Dalam banyak-banyak negeri, Sabah menjadi negeri MissJay tercampak. Dan tercampaknya MissJay ke sini adalah dari lembah penderitaan yang sentiasa MissJay harapkan akan berakhir.
   Namun, setelah apa yang bakal berlaku dalam beberapa purnama lagi, MissJay tertanya-tanya, adakah kepulangan ini akan memberi warna baru dalam lukisan hidup MissJay, atau hanya menyimbah kembali cat hitam pada lukisan indah yang MissJay usahakan selama berada di sini.
   Jika ditanya kenapa MissJay mahu kembali ke sana, yang menunggu dengan segala sakit pedih, MissJay tiada jawapan lain selain tanggungjawab.
   Walau hidup MissJay hingga kini tidak lepas dari cengkaman tekanan yang bukan dicipta oleh MissJay, namun sebagai hambaNYA, MissJay redha dengan apa yang berlaku.
    MissJay boleh katakan yang 14 tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui. Namun, MissJay bangga kerana segalanya berlalu dengan baik. Mungkin kerana MissJay telah serahkan segalanya kepada DIA.
    Dan MissJay juga berpegang kepada kata-kata, sesuatu yang berlaku adalah kerana DIA mengizinkannya.
    Walaupun 14 tahun ini berlalu dengan segalan kepedihan, MissJay tidak nafikan segalanya telah mendekatkan MissJay kepadaNYA dan paling penting, MissJay berpeluang berkenalan dengan insan-insan hebat yang MissJay kenali sepanjang perjalanan ini.
   SABAH. Menyebut namanya sahaja mengundang sebak. Belum lagi mengucap setiap nama yang mewarnai hidup MissJay sepanjang berada di sini. Jika ditanya apa pengertian Sabah kepada MissJay, hanya satu - Keluarga.
   Pada MissJay, Sabah adalah cinta pertama MissJay, yang telah menyelamatkan MissJay dari segalanya.
   Ketika MissJay pernah 'dibuang' dari segala yang MissJay impikan, Sabah menerima MissJay dengan tangan terbuka.
   Berada di sini, melebihi segala-gala. Di sini MissJay belajar menjadi seorang yang berfikiran terbuka, dan menilai segalanya dengan rasional. Bagaimana untuk MissJay mampu melupakan segalaya.
   Benarlah, diberi kekurangan pada satu bahagian, akan ada banyak kelebihan pada bahagian yang lain. MissJay bersyukur walaupun bukan anak yang terpilih, MissJay mempunyai sokongan daripada insan-insan di sekeliling.
   7 tahun di bumi Sabah ini, MissJay amat bersyukur. Dengan orang-orangnya yang ramah, dan buminya yang indah, segalanya akan dikenang selagi ingatan MissJay mampu berfungsi.
   Antara mengusung segala harapan untuk terus berada di sini dan mengalihkan sebuah gunung, MissJay pasti akan memilih untuk mengalihkan sebuah gunung.
   Namun, lahir sebagai anak kepada mana-mana ibu bapa, ada tanggungjawab yang tidak dapat kita nafikan, yang mungkin akan ditanya di alam sana nanti.
   MissJay tidak tergamak menjawab (kalau mampu) bahawa MissJay kecewa dengan mereka, sedangkan dapat membesar sebagai manusia sempurna seperti ini dan mampu membawa diri sejauh ini, MissJay sebenarnya perlu bersyukur dan berterima kasih kepada mereka.
   Jika benar mereka tidak kisah, MissJay tidak akan membesar seperti ini, dan dapat melangkah sejauh ini.Bukan?
   Jadi, dengan rela, MissJay lepaskan hasrat terus menjadi wartawan di sini, melepaskan impian untuk terus menikmati angin segar di sini, meninggalkan (bukan melupakan) 'keluarga' yang ada di sini...demi sebuah tanggungjawab.
    (Dan MissJay rasa bersalah menjadi punca 'mereka'  membuat tuduhan itu dan ini tentang 'kehilangan' MissJay dari kampung halaman. Walau MissJay bukannya hilang)
   Doakan MissJay akan menjadi anak yang baik kepada ayah dan mak tiri MissJay, adik-beradik yang lebih bertanggungjawab kepada saudara-saudara MissJay.
   Kepada anda semua, yang senasib dengan MissJay, walau bagaimanapun ibu bapa kita, selagi bergelar anak, tanggungjawab itu harus dilaksanakan dan paling penting, bersyukurlah kerana kita masih boleh berbakti kepada mereka ketika mereka masih ada.
   Bukankah cara paling mudah mendapat keredhaanNYA adalah dengan mendapatkan redha ibu bapa. :-)
   Dan seperti kata sebuah filem yang diangkat dari novel (Ombak Rindu yang tidak best tu) Bukan pasrah tapi redha! (ini je yang berguna dari filem tu)

Adios.

Thursday, April 12, 2012

mengenal wajah kehidupan...

FIKIR MissJay, perkara ini bukan kali pertama MissJay ungkapkan. Tatkala MissJay tahu, mengulang kembali sesuatu dengan keluhan adalah sama juga dengan cuba mempersoalkan takdir yang berlaku.
   Namun sebagai manusia biasa, MissJay tidak dapat lari daripada keadaan itu. MissJay pasti, keadaan yang sama juga pernah berlaku pada setiap manusia, kerana tiada antara kita yang sempurna.
  Dan kerana manusia itu pula mempunyai akal dan nafsu, maka pertembungan antara kedua-duanya akan sentiasa menyebabkan kita sentiasa berhadapan dilema- antara rasional dan emosional.
  Ramai antara kita yang menyesal selepas terlanjur mengeluh. Anda tidak mengalaminya seorang diri. MissJay juga manusia yang serupa. Malah, dengan apa yang MissJay lalui sepanjang membawa diri sejak hampir 15 tahun lalu, sukar untuk MissJay tolak realiti bahawa MissJay memang biasa mengeluh.
  Namun, bagaikan tersedar dari mimpi, MissJay melihat segalanya dengan jelas ketika nyawa hampir meninggalkan jasad. MissJay sedar, biarlah mengeluh kerana penat, bukannya penat kerana mengeluh tetapi adalah lebih baik jika tidak payah mengeluh langsung. Bukankah Allah tidak suka hambaNYA mengeluh?
  Bagi MissJay, ketika kita bersusah payah untuk 'meninggalkan' dunia, kenapa tidak kita kerah tenaga itu untuk hidup dengan lebih gembira. Bukankah masa depan itu rahsia Tuhan? Dan jika mahu tahu rahsia itu, laluilah kehidupan ini dengan ikhlas, jawapannya akan ada. Itu yang MissJay sedar ketika berada antara 'dua dunia'.
  Tetapi, seperti mana Acheh dikejutkan dengan amaran tsunami, hidup MissJay juga kini menerima amaran tsunami lagi. Bezanya, tsunami Acheh adalah ketika mereka telah hampir pulih selepas tragedi yang dulu, tetapi MissJay belum pulih sepenuhnya dari tsunami hidup.
  Dan biasanya dalam keadaan seperti ini, bagi mereka yang mempunyai atau 'dekat' dengan ibu bapa, sudah pasti mereka ada ruang bersandar secara nyata, mengungkap apa yang tersurat dan tersirat. Bersyukurlah bagi mereka yang mampu melalui keadaan itu.
  Bagi yang tidak mampu melalui keadaan itu, hanya menangis dalam diam...dan biasanya mereka lebih cenderung untuk menangisi keadaan, tanpa mahu berusaha melepaskannya bersama air mata sedangkan itu adalah lebih baik. Mungkin ada yang akan berkata, cakap senang namun bukan mudah untuk melakukannya.
  MissJay sedar akan perkara ini kerana MissJay juga sedang melalui perkara yang sama. Namun, apabila kita mendahulukan akal dari emosi, semuanya InsyaAllah, akan baik-baik sahaja.
  Sungguh, sejak mencecah usia yang MissJay mula mampu mencipta memori (dan ianya berbeza bagi setiap individu), MissJay sentiasa cuba untuk menjadi anak yang taat kepada ibu bapa.
  MissJay sedaya upaya cuba menjadi anak yang baik walau kewujudan MissJay tidak pernah dipandang. Hingga sekarang, MissJay cuba berbakti dengan menidakkan keinginan MissJay untuk terus bekerja di sini demi menjaga gerangan yang dulu tidak pernah memandang MissJay.
  Tidak berniat mengaibkan sesiapa kerana perkara ini sebenarnya bukan rahsia lagi. Mustahil juga tiada yang tertanya-tanya apa rajuk yang membawa MissJay jauh ke Negeri di Bawah Bayu ini. Ia bukan rajuk, ia hanya memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan hidup seperti yang mereka mahu, walau bukan yang MissJay mahu.
  Sejak kecil, MissJay hanya mahu berada bersama keluarga. Itu impian MissJay. Tidak pernah sekalipun tefikir untuk berada sejauh ini, namun pilihan yang diberikan kepada MissJay adalah pilihan yang tidak mungkin berpihak kepada MissJay.
  Sepanjang melalui hidup dalam bidang kewartawanan ini, MissJay temui pelbagai ragam manusia dengan pelbagai masalah, kegembiraan dan tuah - yang memberi ruang kepada MissJay melihat kehidupan secara berbeza.
  Jika kita merasakan kita bertuah, maka ada yang lebih bertuah dari kita. Tapi, jika kita merasakan diri paling banyak diuji, masih ramai lagi yang tidak putus-putus ujian yang menimpa mereka.
  Yakinlah, yang mendatang itu bukanlah bebanan, sebaliknya adalah tanggungjawab bagi setiap manusia yang bergelar hamba Allah swt untuk melaluinya dengan sabar dan ikhlas.
  Kerana itu, mengadulah padaNYA kerana DIA lebih berhak untuk mendengar tangisan dan rayuan setiap hambaNYA. Dan dengan cara itu, kita semakin dekat padaNYA dan semakin sedar, betapa cintaNYA yang sebesar lubang jarum pun, mampu memberi bahagia yang tidak pernah terbayangkan.
 Subhanallah, agungnya kasihMU.Alhamdulillah atas segala yang Engkau berikan.Allahuakbar, hanya KAU yang berhak menerima perhambaaan kami.
  MissJay kongsikan secebis resah yang mengganggu ini supaya rakan-rakan MissJay sedar, anda sebenarnya bertuah memiliki beberapa perkara yang anda ada jika dibandingkan dengan orang lain.
   Anda juga sebenarnya sedang diuji jika tidak memiliki apa yang orang lain ada. Apakah itu??? Terserah...mungkin keluarga, mungkin ibu bapa, mungkin juga cinta..
  Cuma yang semua orang ada, tetapi mereka tidak sedar mereka memilikinya...DIA YANG SATU...yakinlah padaNYA...

Adios.

Friday, April 6, 2012

mencongak penyudah terbaik

SEIRING perubahan masa dan peningkatan usia, ada yang semakin mengejar banyak perkara kerana menyedari masa semakin singkat. Namun ada pula yang mengurangkan perkara yang dikejar mereka kerana merasakan masa yang singkat itu seharusnya ditumpukan pada sesuatu yang lebih meyakinkan dan sudah tentu, menjanjikan manfaat yang pasti.
   Sedar atau tidak, semua manusia mengejar perkara yang sama - kebahagiaan. Dan masing-masing mempunyai cara mereka sendiri untuk mendapatkan kebahagian itu.
   Bagaimana cara MissJay mengejar bahagia?MissJay buat perkara yang MissJay suka dan MissJay sentiasa berusaha menyukai perkara yang MissJay buat selagi ia tidak bertentangan dengan agama yang menjadi teras pilihan setiap manusia yang mengaku Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruhNYA.
  Walaupun MissJay bukanlah seorang yang 'zuhud' untuk berbicara tentang agama, namun apa yang MissJay boleh katakan adalah MissJay bangga dengan diri MissJay sekarang. Kejayaan terbesar MissJay adalah mampu redha dengan apa yang berlaku.
  Jika dulu, MissJay adalah seorang perengus, yang mudah tidak puas hati dengan apa yang berlaku pada diri MissJay sehingga semua orang yang mendapat lebih dari MissJay akan MissJay anggap musuh. Dan mungkin itu juga sisi pencemburu seorang manusia yang MissJay ada.
  Alhamdulillah. Selepas belajar (dan masih belajar) mendekatkan diri denganNYA, MissJay semakin sedar bahawa tidak semua perkara yang kita mahu akan dapat kita miliki, dan tidak semua yang kita miliki adalah apa yang kita mahu. Itu semua ada dalam al-Quran sebenarnya.
  Benar, dulu MissJay jauh dari kandungan kitab suci itu.Namun, sehina-hina manusia adalah yang tidak memberi peluang kepada diri sendiri untuk mengenal tuhannya..itu pendapat MissJay.
  Usia yang diberi, hayat yang dikurnia, hanya digunakan untuk menikmati pemberianNYA tanpa mahu bersyukur atau membuktikan rasa syukur itu.
  Benar salah satu cara berterima kasih adalah dengan memanfaatkan kurniaNYA tetapi bagaimana kita memanfaatkan kurniaNYA itu?Dengan kebaikan atau keburukan?
  Perjalanan hidup yang diberi, sebenarnya adalah amat sia-sia jika jauh dariNYA. Seharusnya dalam hidup yang sesingkat ini, DIAlah yang perlu kita belajar untuk kenali.
  Dan belajar untuk mengenalinya tidak memerlukan kita berserban, atau menjadi 'batu tanda' di rumahnya yang suci kerana ia dapat dilakukan dalam pelbagai perkara dalam kehidupan sehariannya.
  MissJay sendiri sedar, kadangkala dalam beberapa keadaan MissJay seperti mahu mempersoalkan apa yang berlaku, yang MissJay anggap tidak adil untuk tidak MissJay sedangkan DIA adalah MAHA ADIL dan BIJAKSANA dalam segalanya.
  MissJay pernah mempersoalkan kenapa mummy MissJay diambil begitu awal. Namun syukur MissJay temui jawapannya. Kerana DIA mahu MissJay mengadu terus kepadanya, mengemis kasihnya tanpa seorang ibu yang menjadi penzahir kasihNYA.
  MissJay juga pernah mempersoalkan kenapa MissJay dilahirkan sebagai anak perempuan sedangkan bukan itu yang diinginkan daddy MissJay.
  Sungguh, tidak putus asa padaNYA mampu memberi kekuatan luar biasa pada manusia. Kerana itu, jangan pernah putus asa denganNYA. Kerana Allah SWT sendiri tidak pernah putus asa terhadap kita yang sentiasa ditunggu kembali padaNYA.
  Jadi, dalam perjalanan hidup yang singkat tapi belum selesai ini, ketika MissJay masih mencuba untuk mencongak laluan terbaik untuk diri sendiri, MissJay ajak anda semua untuk kembali merenung dalam diri.
  Ketika ini, bersediakah kita andai hari ini adalah hari terakhir kita? Bersediakah untuk perjalanan ke alam yang satu lagi?Yang panjang masanya beribu kali ganda lebih lama dari di sini?
   Sejujurnya, pada pendapat MissJay, perjalanan ini tidak akan selesai. Cuma dunianya sahaja yang berbeza. Kerana ketika perjalanan hidup di sini, urusannya berbeza dan perjalanan di sana pula, lain pula ceritanya.
   Kecuali, apbila sudah usai semua ditimbangsukat dan balasan ditentukan. Selepas itu, di mana tempat kita dan bagaimana keadaan seterusnya, terserah pada apa yang kita buat ketika ini. Jadi, tanyalah pada diri, sudahkah kita bersedia untuk menerima manfaat atau natijah daripada amalan kita di dunia apabila di sana nanti?
   Usah riak menjadi makhluk Allah SWT yang paling istimewa jika tempat yang ditempah sebenarnya hanyalah neraka.
  Kerana itu, juga usah terlalu memuja cantik dan indah di dunia, kerana di sana, semuanya sama kecuali amalan.

Adios.

Wednesday, April 4, 2012

kini..hanyalah yang pernah disukai

MISSJAY sebenarnya bukanlah pencinta agung kasih seorang lelaki. Jauh sekali untuk menjadi pemuja setia mana-mana kaum Adam selepas orang yang MissJay suka di zaman sekolah dulu menyukai orang lain.
  Mungkin orang lain akan panggil itu cinta monyet tetapi MissJay tidak mahu memberi gelaran seperti itu kepada perasaan yang MissJay anggap suci.
  Biarpun ia sekadar menyukai, dan bukannya cinta mati, MissJay mahu hormati juga kesucian perasaan itu.
  Perkenalan kami bermula sebagai rakan sekolah dan kerana MissJay membesar sebagai seorang anak yang 'semberono' (mungkin sebab MissJay membesar dengan layanan anak lelaki), MissJay tidak kisah untuk mengungkapkan apa sahaja yang MissJay rasa.
  Termasuklah kalau MissJay sukakan seseorang. Dan kerana itu, MissJay juga tidak kisah untuk memuji seseorang kalau MissJay rasa dia layak menerimanya. Namun, bagusnya MissJay tidak pula suka mengutuk orang..hanya tegur-tegur manja.
  Kerana itu juga mungkin, MissJay terlanjur mengucap suka dan senang pada seseorang, sehingga membuahkan harapan yang membuat MissJay menanti hingga sepuluh tahun.
  Sungguh,kadangkala kita tahu sesuatu tindakan itu adalah bodoh tetapi untuk memujuk hati, kita akan terpedaya juga untuk lakukannya.
  Dalam keadaan ini, MissJay sedar MissJay sepatutnya sudah menyerah sepuluh tahun yang lalu. Menyerah ketika disahkan bahawa bukan MissJay yang jadi pilihan. Tapi, naluri remaja, selagi yang disukai belum dalam ikatan sah, dia secara rasminya bukanlah hak sesiapa.
  Hinggalah MissJay terlanjur berharap selama sepuluh tahun. Berharap pada seseorang bukanlah cara MissJay dibesarkan sebenarnya.
  Selepas mummy pergi, MissJay tidak bergantung pada sesiapa. Tetapi musim-musim mendatang lebih banyak musim bunga dengan menyukai dia.
  Dan musim bunga itu yang terhenti hampir sepuluh tahun lalu, bertamu kembali lewat beberapa purnama lepas. Musim bunga yang MissJay harap akan berpanjangan.
  Apa alasan dia muncul semula setelah tidak lagi berpunya?Itu persoalan MissJay hingga sekarang. Dan lebih menyesakkan fikiran, kenapa baru semalam dia mendedahkan kad wangi yang bakal kunjung tidak lama lagi?
  Sendu ini masuk hari kedua. Namun, MissJay akan pastikan ianya tidak lama. Kerana MissJay pasti, selain Allah swt yang berhak untuk airmata MissJay, akan ada insan seterusnya yang lebih layak untuk tangisan ini.
  Tetapi tiada yang sempurna selain DIA dan tiada yang lebih menepati janji selain DIA.
  Dan, bukankah lebih baik ia berakhir sebelum lebih ramai pihak terlibat dalam cerita sukar kami?
  Arwah mummy dulu pernah berkata yang dalam ramai-ramai anaknya, MissJay paling tidak pentingkan diri. Dan pernah disuruh supaya mengutamakan diri dulu sebelum mengorbankan sesuatu untuk orang lain.
  Itu ketika mummy MissJay ada. Selepas itu, MissJay tidak mampu lagi untuk memanjakan diri. Walaupun melibatkan hati dan perasaan.
  Percayalah, walau bagaimanapun cara kita dibesarkan, tiba masanya kita akan menyerap persekitaran dan menjananya menjadi pemikiran sendiri.
  Ideologi ibu bapa hanyalah panduan asas (yang selalunya diabaikan kerana ego) tetapi pilihan tetap kita yang buat. Kerana itu, dalam keadaan MissJay sekarang, ideologi arwah mummy hanya sebagai sokongan, tetapi keputusan yang MissJay ambil adalah tanggungan MissJay sendiri.
  Mendahulukan diri MissJay maksudnya MissJay akan relakan mereka. Kerana menyukai, menyenangi dan mencintai itu tidak semestinya memiliki. Asalkan dia bahagia dengan pilihannya, bukankah itu lebih baik?
  Dan kini, dengan segala kekuatan yang MissJay ada, MissJay umumkan yang dia hanyalah seorang yang MissJay pernah kenali, sukai dan senang (dan cintai).
  Kerana kini, MissJay lepaskan dia untuk selamanya...walau dengan airmata.

Adios.