Tuesday, April 3, 2012

Surat Untuk Hati

Hatiku.
Maaf pembuka bicara kita malam ini setelah sekian lama bisikmu ku abai.
Maaf juga pemula kali ini, kerana terlalu lama membiarmu terendam dalam kisah yang tidak terungkai.
Maaf kerana tidak memberi ruang untukmu berbicara lantang.
Maaf juga untuk semua luka yang telah aku berikan.
Hatiku.
Usah dipeduli kata-kata itu yang rupanya tidak seperti ia biasa kedengaran.
Jangan kecewa oleh nyata yang tidak seindah perkhabaran.
Tabahlah hatiku walau sepuluh tahun itu bukanlah bermula semalam.
Bertahanlah hatiku dengan harapan semoga esok lebih menggembirakan.
Hatiku.
Sepuluh tahun kau dinafikan, hanya menjerit hasrat dalam diam.
Selama itu hasutan naluri tidak dipandang, jauh sekali terlayan.
Mengingati yang pertama dan mengharap segalanya pulang.
Mendera hatiku yang langsung tiada menggores kesilapan.
Hatiku.
Ku bebaskanmu dari sepuluh tahun harapan palsu kehidupan.
Ku lepaskanmu dari penjara perasaan yang tidak pernah tergoyahkan.
Terbanglah hatiku mencari masa depan yang lebih membahagiakan.
Mengembaralah hatiku mencari persinggahan yang lebih meyakinkan.
Hatiku.
Berserahlah kepada masa dan percaturanNYA Yang Maha Bijaksana.
Berlindunglah di bawah kasihNYA Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Bersandarlah pada cintaNYA Yang Maha Adil dan Sempurna.
Kuatlah wahai hatiku, Allah swt bersamamu dan lepaskanlah sepuluh tahun itu.

No comments:

Post a Comment