Tuesday, April 3, 2012

kisan tentang hujan

CUTI tapi hujan sangat lebat. Dan sebagai 'orang kebanyakan' yang hanya memiliki skuter cabuk, mood untuk jalan-jalan ke KK langsung termati.
  Tapi, MissJay tidak salahkan juga cuaca yang membuatkan MissJay terpaksa membatalkan tiga janji penting pada hari cuti (offday setiap Selasa) ini. Walaupun MissJay tidak pasti mereka yang terlibat memahami atau tidak, sekurang-kurangnya MissJay telah memberi penjelasan tentang itu.
   Hujan. Orang yang tinggal di kawasan rendah akan mula bimbang banjir berlaku. Manakala penunggang motorsikal pula berkira-kira pukul berapa baru dapat balik rumah.
  Tanpa sedar, semakin ramai yang merungut apabila hujan turun, mula tidak sedar hujan itu sebenarnya adalah rahmatNYA.
  MissJay perasan, sejak beberapa hari lalu belum ada hari yang hujan hingga keadaan seperti berkabut atau jerebu dan pokok-pokok di tepi jalan juga mula pudar hijaunya.Panas juga bukan alang-alang.
  Pokok yang menyumbangkan oksigen dan cuaca panas yang menggigit kulit, kini distabilkan dengan hujan yang turun. Jadi, bersalah kah hujan turun?
  Lumrah manusia tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki. Diberi hujan, merungut, tiada hujan juga merungut.
  Teringat arwah emak MissJay dulu. Katanya, kalau pun dia tidak dapat ke kebun getah untuk ambil upah menoreh (ya..itulah kerjaya arwah mummy MissJay yg membolehkan MissJay menjadi manusia berguna hari ini), tapi perigi kami akan banyak air semula dan kebun kami yang sekangkang kera itu pun tidak perlu disiram. Dan dia dapat luangkan masa bersama kami.
  Kata mummy MissJay, hujan pun bukan selalu dan kalau hujan datang, nak main hujan pun, mainlah sebab belum tentu hujan pada hari lain seperti hujan pada hari ini.
  Hujan. Bukan hanya memberi selesa untuk tidur MissJay, malah datangnya hujan sarat dengan kenangan yang tidak mungkin MissJay lupakan. Mungkin itu antara sebab MissJay tidak 'benci' hujan.
   Walaupun MissJay sedar, ketika kita begitu teruja mendapat sesuatu, ia mungkin bukanlah sesuatu yang bukan hanya tidak didambakan, malah mungkin tidak pernah terlintas pun di fikiran orang lain.
  Tapi, hujan adalah rahmat..itu kenyataan.
  Jadi, belajarlah untuk tidak merungut dan redha dengan apa yang kita dapat. Kerana dalam hidup yang begini singkat, ia bukanlah tentang berapa banyak yang kita dapat, tetapi bagaimana kita menjadikan satu yang kita miliki sebagai yang terbaik untuk kita.
  Pada MissJay, berbanding mendapat banyak, mempunyai satu yang MissJay paling hargai adalah lebih istimewa. Kerana dengan cara itu, kita betul-betul dapat mengenali, menikmati dan menghargai dengan sebenar-benarnya.
  Bagaimanakah untuk menghargai dengan sebenar-benarnya? Buatlah sesuatu tanpa mengharap dibalas. Lagipun, tiada balasan manusia yang adil untuk kita. Serahkan pada DIA.Hak manusia adalah untuk berusaha dan selebihnya terserah pada Yang Maha Kuasa.
  Kalaupun yang terhasil dari keikhlaan dan kejujuran itu adalah sesuatu yang tidak begitu menyenangkan, ingatlah, ianya berlaku hanya dengan izin Yang Maha Kuasa.
  Bagi MissJay sendiri, kita tidak boleh terlalu tamak untuk mahu semua perkara kerana dalam dunia ini bukanlah hanya tentang diri sendiri sahaja.

Adios.

No comments:

Post a Comment