Wednesday, April 4, 2012

kini..hanyalah yang pernah disukai

MISSJAY sebenarnya bukanlah pencinta agung kasih seorang lelaki. Jauh sekali untuk menjadi pemuja setia mana-mana kaum Adam selepas orang yang MissJay suka di zaman sekolah dulu menyukai orang lain.
  Mungkin orang lain akan panggil itu cinta monyet tetapi MissJay tidak mahu memberi gelaran seperti itu kepada perasaan yang MissJay anggap suci.
  Biarpun ia sekadar menyukai, dan bukannya cinta mati, MissJay mahu hormati juga kesucian perasaan itu.
  Perkenalan kami bermula sebagai rakan sekolah dan kerana MissJay membesar sebagai seorang anak yang 'semberono' (mungkin sebab MissJay membesar dengan layanan anak lelaki), MissJay tidak kisah untuk mengungkapkan apa sahaja yang MissJay rasa.
  Termasuklah kalau MissJay sukakan seseorang. Dan kerana itu, MissJay juga tidak kisah untuk memuji seseorang kalau MissJay rasa dia layak menerimanya. Namun, bagusnya MissJay tidak pula suka mengutuk orang..hanya tegur-tegur manja.
  Kerana itu juga mungkin, MissJay terlanjur mengucap suka dan senang pada seseorang, sehingga membuahkan harapan yang membuat MissJay menanti hingga sepuluh tahun.
  Sungguh,kadangkala kita tahu sesuatu tindakan itu adalah bodoh tetapi untuk memujuk hati, kita akan terpedaya juga untuk lakukannya.
  Dalam keadaan ini, MissJay sedar MissJay sepatutnya sudah menyerah sepuluh tahun yang lalu. Menyerah ketika disahkan bahawa bukan MissJay yang jadi pilihan. Tapi, naluri remaja, selagi yang disukai belum dalam ikatan sah, dia secara rasminya bukanlah hak sesiapa.
  Hinggalah MissJay terlanjur berharap selama sepuluh tahun. Berharap pada seseorang bukanlah cara MissJay dibesarkan sebenarnya.
  Selepas mummy pergi, MissJay tidak bergantung pada sesiapa. Tetapi musim-musim mendatang lebih banyak musim bunga dengan menyukai dia.
  Dan musim bunga itu yang terhenti hampir sepuluh tahun lalu, bertamu kembali lewat beberapa purnama lepas. Musim bunga yang MissJay harap akan berpanjangan.
  Apa alasan dia muncul semula setelah tidak lagi berpunya?Itu persoalan MissJay hingga sekarang. Dan lebih menyesakkan fikiran, kenapa baru semalam dia mendedahkan kad wangi yang bakal kunjung tidak lama lagi?
  Sendu ini masuk hari kedua. Namun, MissJay akan pastikan ianya tidak lama. Kerana MissJay pasti, selain Allah swt yang berhak untuk airmata MissJay, akan ada insan seterusnya yang lebih layak untuk tangisan ini.
  Tetapi tiada yang sempurna selain DIA dan tiada yang lebih menepati janji selain DIA.
  Dan, bukankah lebih baik ia berakhir sebelum lebih ramai pihak terlibat dalam cerita sukar kami?
  Arwah mummy dulu pernah berkata yang dalam ramai-ramai anaknya, MissJay paling tidak pentingkan diri. Dan pernah disuruh supaya mengutamakan diri dulu sebelum mengorbankan sesuatu untuk orang lain.
  Itu ketika mummy MissJay ada. Selepas itu, MissJay tidak mampu lagi untuk memanjakan diri. Walaupun melibatkan hati dan perasaan.
  Percayalah, walau bagaimanapun cara kita dibesarkan, tiba masanya kita akan menyerap persekitaran dan menjananya menjadi pemikiran sendiri.
  Ideologi ibu bapa hanyalah panduan asas (yang selalunya diabaikan kerana ego) tetapi pilihan tetap kita yang buat. Kerana itu, dalam keadaan MissJay sekarang, ideologi arwah mummy hanya sebagai sokongan, tetapi keputusan yang MissJay ambil adalah tanggungan MissJay sendiri.
  Mendahulukan diri MissJay maksudnya MissJay akan relakan mereka. Kerana menyukai, menyenangi dan mencintai itu tidak semestinya memiliki. Asalkan dia bahagia dengan pilihannya, bukankah itu lebih baik?
  Dan kini, dengan segala kekuatan yang MissJay ada, MissJay umumkan yang dia hanyalah seorang yang MissJay pernah kenali, sukai dan senang (dan cintai).
  Kerana kini, MissJay lepaskan dia untuk selamanya...walau dengan airmata.

Adios.

No comments:

Post a Comment