Monday, April 2, 2012

nikmat sempurna dari kekurangan

BARU-baru ni, ada kawan MissJay tanya MissJay, betul ke ada perempuan yang sanggup untuk memilih lelaki yang dari golongan kelainan upaya untuk dijadikan suami.
   MissJay tidak terus menjawab walaupun MissJay memang sentiasa sedia dengan persoalan seperti itu.     Bukan apa, MissJay sendiri berpendapat seiring peningkatan usia, citarasa seseorang dalam memilih pasangan hidup juga akan berubah.
  Misalnya MissJay sendiri pernah memasang angan memilih seorang pendidik, kemudian menjadi semakin tidak kisah dan kini, MissJay redha dengan ketentuanNYA.
  Selepas berdiam seketika, menyebabkan dia cuak dengan sikap MissJay, barulah MissJay berikan jawapan kepada si kawan.
  Kata MissJay, semuanya terpulang kepada apa yang diimpikan wanita itu sendiri, dia mahu apa.
  Tapi, kalau ditanya adakah MissJay bersedia menerima lelaki seperti itu, InsyaAllah. Kerana pada MissJay, jika itu yang ditentukanNYA, maka itulah yang terbaik untuk MissJay.
  Kadang-kadang, dari ketidaksempurnaan fizikal, mampu lahir kesempurnaan dari aspek lain kehidupan dan ia biasanya misteri bagi setiap orang. Apatahlagi cara setiap individu mendefinisikan bahagia juga berbeza.
  Dan kekurangan seorang itu, menjadikan seorang lain lengkap kerana dapat memanfaatkan apa yang dimiliki. Itulah konsep berpasangan, saling melengkapi setelah menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing.
  Harus adil pada diri sendiri. Menerima dengan redha, bukan dengan pasrah.
  MissJay tidak kisah untuk bersusah-payah di dunia asal itu dapat mendekatkan MissJay padaNYA. MissJay rasa, tidak salah untuk menjadikan cinta sesama manusia sebagai platform untuk menggapai cintaNYA. Bukankah begitu lebih baik?
  Dan MissJay teringat janjiNYA bahawa setiap manusia yang masuk syurga akan mendapat bidadari. MissJay mahu menjadi seorang teman yang diminta untuk menjadi bidadarinya di sana nanti.
   Dan MissJay rasa, jika wanita bergelar isteri berpegang kepada prinsip ini, dan mencintai pasangan mereka kerana mengejar cinta Ilahi, hubungan mereka tidak akan goyah.
   Untuk bercerita lebih-lebih tentang isu jalinan hati ini, MissJay bukan pandai mana. Cuma, pada usia seperti ini, mustahil jika MissJay katakan yang MissJay tidak bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk kemungkinan 'pergi' tanpa menjadi penghias hidup mana-mana kaum Adam.
  Masa depan itu rahsiaNYA. Sebagai manusia yang serba lemah, kita hanya mahu berusaha, berdoa dan bertawakal. Cuma, janji MissJay pada diri sendiri, MissJay tidak akan menjadi seorang Hawa yang menghantar Adamnya ke neraka. InsyaAllah.
  (Isu pasangan ini sebenarnya sudah MissJay lupakan namun timbul semula bila seorang kawan pada malam ini bertanyakan adalah MissJay sudah 'berisi'. Ketawa MissJay tiada penghujung. Tiada angin, tiada ribut, ditanya adakah sudah mengandung.)
  Bagi MissJay, tetap juga dengan pendapat yang sama. Walau dia tidak sempurna fizikal, jika mampu membawa MissJay lebih dekat kepada DIA, itu sudah segala-galanya. Dan hanya manusia terpilih sahaja untuk melalui keadaan seperti itu.
  Manusia terpilih untuk merasai nikmat sabar, nikmat berkorban dan nikmat limpah kasihNYA. Cuma, MissJay masih perlu berlajar redha untuk sebelum menerima, ketika menerima dan selepas menerima yang MissJay yakin masih kurang.
  Bagaimanapun, jika pemilik jasad dan jiwa ini adalah seorang yang sempurna, tetap juga anugerah tertinggi dariNYA.
  Dan kalau itu berlaku, kriterianya masih sama.Tidak tinggi (tidak juga rendah), bukan berkulit cerah (tidak juga gelap betul), tidak merokok (tidak ambil dadah/shisa juga) dan bersukan. Itu fizikalnya.
  Namun, lebih penting dari itu, MissJay mencari imam solat. Kerana, pada MissJay, alangkah indahnya untuk mempunyai seorang imam di rumah, dan dalam rumahtangga. Bukankah itu juga boleh mengeratkan hubungan sesama manusia dan dengan tuhannya?
  Tapi, kalau yang membaca ni kawan-kawan sekolah dan universiti MissJay, mereka pasti tahu..yang MissJay tidak kisah dengan MrD.
  Ingat lagi pengakuanku. MissJay ada cakap.Kan?Kan?

Adios.

No comments:

Post a Comment