Friday, April 6, 2012

mencongak penyudah terbaik

SEIRING perubahan masa dan peningkatan usia, ada yang semakin mengejar banyak perkara kerana menyedari masa semakin singkat. Namun ada pula yang mengurangkan perkara yang dikejar mereka kerana merasakan masa yang singkat itu seharusnya ditumpukan pada sesuatu yang lebih meyakinkan dan sudah tentu, menjanjikan manfaat yang pasti.
   Sedar atau tidak, semua manusia mengejar perkara yang sama - kebahagiaan. Dan masing-masing mempunyai cara mereka sendiri untuk mendapatkan kebahagian itu.
   Bagaimana cara MissJay mengejar bahagia?MissJay buat perkara yang MissJay suka dan MissJay sentiasa berusaha menyukai perkara yang MissJay buat selagi ia tidak bertentangan dengan agama yang menjadi teras pilihan setiap manusia yang mengaku Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruhNYA.
  Walaupun MissJay bukanlah seorang yang 'zuhud' untuk berbicara tentang agama, namun apa yang MissJay boleh katakan adalah MissJay bangga dengan diri MissJay sekarang. Kejayaan terbesar MissJay adalah mampu redha dengan apa yang berlaku.
  Jika dulu, MissJay adalah seorang perengus, yang mudah tidak puas hati dengan apa yang berlaku pada diri MissJay sehingga semua orang yang mendapat lebih dari MissJay akan MissJay anggap musuh. Dan mungkin itu juga sisi pencemburu seorang manusia yang MissJay ada.
  Alhamdulillah. Selepas belajar (dan masih belajar) mendekatkan diri denganNYA, MissJay semakin sedar bahawa tidak semua perkara yang kita mahu akan dapat kita miliki, dan tidak semua yang kita miliki adalah apa yang kita mahu. Itu semua ada dalam al-Quran sebenarnya.
  Benar, dulu MissJay jauh dari kandungan kitab suci itu.Namun, sehina-hina manusia adalah yang tidak memberi peluang kepada diri sendiri untuk mengenal tuhannya..itu pendapat MissJay.
  Usia yang diberi, hayat yang dikurnia, hanya digunakan untuk menikmati pemberianNYA tanpa mahu bersyukur atau membuktikan rasa syukur itu.
  Benar salah satu cara berterima kasih adalah dengan memanfaatkan kurniaNYA tetapi bagaimana kita memanfaatkan kurniaNYA itu?Dengan kebaikan atau keburukan?
  Perjalanan hidup yang diberi, sebenarnya adalah amat sia-sia jika jauh dariNYA. Seharusnya dalam hidup yang sesingkat ini, DIAlah yang perlu kita belajar untuk kenali.
  Dan belajar untuk mengenalinya tidak memerlukan kita berserban, atau menjadi 'batu tanda' di rumahnya yang suci kerana ia dapat dilakukan dalam pelbagai perkara dalam kehidupan sehariannya.
  MissJay sendiri sedar, kadangkala dalam beberapa keadaan MissJay seperti mahu mempersoalkan apa yang berlaku, yang MissJay anggap tidak adil untuk tidak MissJay sedangkan DIA adalah MAHA ADIL dan BIJAKSANA dalam segalanya.
  MissJay pernah mempersoalkan kenapa mummy MissJay diambil begitu awal. Namun syukur MissJay temui jawapannya. Kerana DIA mahu MissJay mengadu terus kepadanya, mengemis kasihnya tanpa seorang ibu yang menjadi penzahir kasihNYA.
  MissJay juga pernah mempersoalkan kenapa MissJay dilahirkan sebagai anak perempuan sedangkan bukan itu yang diinginkan daddy MissJay.
  Sungguh, tidak putus asa padaNYA mampu memberi kekuatan luar biasa pada manusia. Kerana itu, jangan pernah putus asa denganNYA. Kerana Allah SWT sendiri tidak pernah putus asa terhadap kita yang sentiasa ditunggu kembali padaNYA.
  Jadi, dalam perjalanan hidup yang singkat tapi belum selesai ini, ketika MissJay masih mencuba untuk mencongak laluan terbaik untuk diri sendiri, MissJay ajak anda semua untuk kembali merenung dalam diri.
  Ketika ini, bersediakah kita andai hari ini adalah hari terakhir kita? Bersediakah untuk perjalanan ke alam yang satu lagi?Yang panjang masanya beribu kali ganda lebih lama dari di sini?
   Sejujurnya, pada pendapat MissJay, perjalanan ini tidak akan selesai. Cuma dunianya sahaja yang berbeza. Kerana ketika perjalanan hidup di sini, urusannya berbeza dan perjalanan di sana pula, lain pula ceritanya.
   Kecuali, apbila sudah usai semua ditimbangsukat dan balasan ditentukan. Selepas itu, di mana tempat kita dan bagaimana keadaan seterusnya, terserah pada apa yang kita buat ketika ini. Jadi, tanyalah pada diri, sudahkah kita bersedia untuk menerima manfaat atau natijah daripada amalan kita di dunia apabila di sana nanti?
   Usah riak menjadi makhluk Allah SWT yang paling istimewa jika tempat yang ditempah sebenarnya hanyalah neraka.
  Kerana itu, juga usah terlalu memuja cantik dan indah di dunia, kerana di sana, semuanya sama kecuali amalan.

Adios.

No comments:

Post a Comment