Wednesday, April 25, 2012

apa yang ditunggu?

BERAPA lama anda sanggup menanti dalam hidup anda? Kalau MissJay, jawapannya bergantung kepada apa yang MissJay nantikan. Dan biasanya, kalau perkara itu besar maknanya, maka MissJay sanggup menunggu lama.
  Tetapi, apa pula yang mendefinisikan 'lama'? Ada orang kata sanggup tunggu beribu tahun (kononnya) namun baru sahaja dua minit sudah panas punggung. Tetapi ada juga yang mengakui sanggup menunggu tetapi sebenarnya tidak kisah langsung.
  Cerita pasal tunggu menunggu, nanti menanti ini, MissJay sendiri bukanlah seorang penyabar mana untuk menunggu dalam tempoh yang lama. Kerana itu MissJay amat kagum pada beberapa kawan yang begitu sabar menunggu terutamanya, menunggu seseorang (atau jawapan seseorang).
  Penantian MissJay tidak lama mana. Hanya sepuluh tahun. Dan jawapan yang MissJay nantikan hanya MissJay perolehi kira-kira sebulan lalu.
  Biarpun penantian itu tidak seperti yang diharapkan, Alhamdulillah MissJay ucapkan untuk pengalaman penantian itu dan syukur kepadaNYA juga kerana memberikan MissJay kekuatan untuk melalui pengakhiran yang seperti ini. Sungguh, DIA Maha Mengetahui apa yang tersurat dan tersirat di sebalik semuanya.
  Berbalik kepada cerita menanti ni, MissJay berpendapat, sesiapa pun tidak kisah untuk menunggu lama kalau perkara yang ditunggu itu 'penting' bagi mereka, dan sebaliknya pula jika sesuatu itu tidak penting.
  Tidak penting? MissJay cuba mendefinisikan maksud tidak penting tetapi gagal.
   Mungkin kerana sikap MissJay yang menghargai dan menyayangi semua perkara membuatkan MissJay sentiasa teruja untuk melalui atau berhadapan sesuatu. (Mungkin kerana itu MissJay sukar membenci sesiapa).
  Kerana itu, pada pendapat MissJay, tiada perkara yang tidak penting selagi kita hidup. Cuma, yang menyebabkan kita rasa sesuatu itu tidak penting adalah kerana ia tidak menepati apa yang kita jangkakan, mahukan atau harapkan.
  Dan pada MissJay juga, lama atau tidak penantian itu juga bergantung kepada apa yang kita tunggu atau nantikan. Percaya atau tidak, kadangkala kerana satu SMS, kita rasakan setiap gerakan jarum jam bagai mencucuk hati untuk mencari alasan di sebalik keadaan itu (contoh).
  Kalau sesuatu itu memang kita dambakan, mungkin menunggu dua minit pun rasa seperti dua tahun (kerana itu kita katakan sanggup tunggu sehingga bertahun-tahun).
  Bagaimanapun, harus sedar bahawa sesuatu yang kita tunggu tidak semestinya penting (macam menunggu jawapan cinta dari orang yang jelas tidak mungkin), dan sesuatu yang penting kadangkala tidak perlu kita tunggu untuk memilikinya (jodoh tersepak??)
  Buka mata dan hati, lihat sekeliling. Kalau yang 'tidak menyenangkan boleh berlaku pada perkara baik yang terancang', tidak mustahil 'yang menyenangkan boleh berlaku pada perkara yang tidak dirancang'.
  Dan, MissJay fikir, terlalu mengharap sesuatu datangnya seperti yang kita mahu akan menghapuskan rasa suspen, keindahan kejutan dan nilai tiba-tiba sesuatu.
   Jadi, tidak perlu terlalu memperhamba diri pada penantian..teruskan hidup, dan redha dengan takdirNYA. InsyaALlah, ada rezeki kita.Berusaha, berdoa dan tawakkal...:-)

Adios.

No comments:

Post a Comment