Wednesday, April 18, 2012

Sabah di hatiku

12 kotak. Itu jumlahnya buat masa ini. Namun, itu hanya kuantiti kasar. Jika dihitung, kotak yang sebanyak 12 itu tidak akan mampu menampung segala yang MissJay lalui di negeri bertuah ini.
   Sungguh, MissJay amat-amat bersyukur. Dalam banyak-banyak negeri, Sabah menjadi negeri MissJay tercampak. Dan tercampaknya MissJay ke sini adalah dari lembah penderitaan yang sentiasa MissJay harapkan akan berakhir.
   Namun, setelah apa yang bakal berlaku dalam beberapa purnama lagi, MissJay tertanya-tanya, adakah kepulangan ini akan memberi warna baru dalam lukisan hidup MissJay, atau hanya menyimbah kembali cat hitam pada lukisan indah yang MissJay usahakan selama berada di sini.
   Jika ditanya kenapa MissJay mahu kembali ke sana, yang menunggu dengan segala sakit pedih, MissJay tiada jawapan lain selain tanggungjawab.
   Walau hidup MissJay hingga kini tidak lepas dari cengkaman tekanan yang bukan dicipta oleh MissJay, namun sebagai hambaNYA, MissJay redha dengan apa yang berlaku.
    MissJay boleh katakan yang 14 tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui. Namun, MissJay bangga kerana segalanya berlalu dengan baik. Mungkin kerana MissJay telah serahkan segalanya kepada DIA.
    Dan MissJay juga berpegang kepada kata-kata, sesuatu yang berlaku adalah kerana DIA mengizinkannya.
    Walaupun 14 tahun ini berlalu dengan segalan kepedihan, MissJay tidak nafikan segalanya telah mendekatkan MissJay kepadaNYA dan paling penting, MissJay berpeluang berkenalan dengan insan-insan hebat yang MissJay kenali sepanjang perjalanan ini.
   SABAH. Menyebut namanya sahaja mengundang sebak. Belum lagi mengucap setiap nama yang mewarnai hidup MissJay sepanjang berada di sini. Jika ditanya apa pengertian Sabah kepada MissJay, hanya satu - Keluarga.
   Pada MissJay, Sabah adalah cinta pertama MissJay, yang telah menyelamatkan MissJay dari segalanya.
   Ketika MissJay pernah 'dibuang' dari segala yang MissJay impikan, Sabah menerima MissJay dengan tangan terbuka.
   Berada di sini, melebihi segala-gala. Di sini MissJay belajar menjadi seorang yang berfikiran terbuka, dan menilai segalanya dengan rasional. Bagaimana untuk MissJay mampu melupakan segalaya.
   Benarlah, diberi kekurangan pada satu bahagian, akan ada banyak kelebihan pada bahagian yang lain. MissJay bersyukur walaupun bukan anak yang terpilih, MissJay mempunyai sokongan daripada insan-insan di sekeliling.
   7 tahun di bumi Sabah ini, MissJay amat bersyukur. Dengan orang-orangnya yang ramah, dan buminya yang indah, segalanya akan dikenang selagi ingatan MissJay mampu berfungsi.
   Antara mengusung segala harapan untuk terus berada di sini dan mengalihkan sebuah gunung, MissJay pasti akan memilih untuk mengalihkan sebuah gunung.
   Namun, lahir sebagai anak kepada mana-mana ibu bapa, ada tanggungjawab yang tidak dapat kita nafikan, yang mungkin akan ditanya di alam sana nanti.
   MissJay tidak tergamak menjawab (kalau mampu) bahawa MissJay kecewa dengan mereka, sedangkan dapat membesar sebagai manusia sempurna seperti ini dan mampu membawa diri sejauh ini, MissJay sebenarnya perlu bersyukur dan berterima kasih kepada mereka.
   Jika benar mereka tidak kisah, MissJay tidak akan membesar seperti ini, dan dapat melangkah sejauh ini.Bukan?
   Jadi, dengan rela, MissJay lepaskan hasrat terus menjadi wartawan di sini, melepaskan impian untuk terus menikmati angin segar di sini, meninggalkan (bukan melupakan) 'keluarga' yang ada di sini...demi sebuah tanggungjawab.
    (Dan MissJay rasa bersalah menjadi punca 'mereka'  membuat tuduhan itu dan ini tentang 'kehilangan' MissJay dari kampung halaman. Walau MissJay bukannya hilang)
   Doakan MissJay akan menjadi anak yang baik kepada ayah dan mak tiri MissJay, adik-beradik yang lebih bertanggungjawab kepada saudara-saudara MissJay.
   Kepada anda semua, yang senasib dengan MissJay, walau bagaimanapun ibu bapa kita, selagi bergelar anak, tanggungjawab itu harus dilaksanakan dan paling penting, bersyukurlah kerana kita masih boleh berbakti kepada mereka ketika mereka masih ada.
   Bukankah cara paling mudah mendapat keredhaanNYA adalah dengan mendapatkan redha ibu bapa. :-)
   Dan seperti kata sebuah filem yang diangkat dari novel (Ombak Rindu yang tidak best tu) Bukan pasrah tapi redha! (ini je yang berguna dari filem tu)

Adios.

No comments:

Post a Comment