Thursday, April 12, 2012

mengenal wajah kehidupan...

FIKIR MissJay, perkara ini bukan kali pertama MissJay ungkapkan. Tatkala MissJay tahu, mengulang kembali sesuatu dengan keluhan adalah sama juga dengan cuba mempersoalkan takdir yang berlaku.
   Namun sebagai manusia biasa, MissJay tidak dapat lari daripada keadaan itu. MissJay pasti, keadaan yang sama juga pernah berlaku pada setiap manusia, kerana tiada antara kita yang sempurna.
  Dan kerana manusia itu pula mempunyai akal dan nafsu, maka pertembungan antara kedua-duanya akan sentiasa menyebabkan kita sentiasa berhadapan dilema- antara rasional dan emosional.
  Ramai antara kita yang menyesal selepas terlanjur mengeluh. Anda tidak mengalaminya seorang diri. MissJay juga manusia yang serupa. Malah, dengan apa yang MissJay lalui sepanjang membawa diri sejak hampir 15 tahun lalu, sukar untuk MissJay tolak realiti bahawa MissJay memang biasa mengeluh.
  Namun, bagaikan tersedar dari mimpi, MissJay melihat segalanya dengan jelas ketika nyawa hampir meninggalkan jasad. MissJay sedar, biarlah mengeluh kerana penat, bukannya penat kerana mengeluh tetapi adalah lebih baik jika tidak payah mengeluh langsung. Bukankah Allah tidak suka hambaNYA mengeluh?
  Bagi MissJay, ketika kita bersusah payah untuk 'meninggalkan' dunia, kenapa tidak kita kerah tenaga itu untuk hidup dengan lebih gembira. Bukankah masa depan itu rahsia Tuhan? Dan jika mahu tahu rahsia itu, laluilah kehidupan ini dengan ikhlas, jawapannya akan ada. Itu yang MissJay sedar ketika berada antara 'dua dunia'.
  Tetapi, seperti mana Acheh dikejutkan dengan amaran tsunami, hidup MissJay juga kini menerima amaran tsunami lagi. Bezanya, tsunami Acheh adalah ketika mereka telah hampir pulih selepas tragedi yang dulu, tetapi MissJay belum pulih sepenuhnya dari tsunami hidup.
  Dan biasanya dalam keadaan seperti ini, bagi mereka yang mempunyai atau 'dekat' dengan ibu bapa, sudah pasti mereka ada ruang bersandar secara nyata, mengungkap apa yang tersurat dan tersirat. Bersyukurlah bagi mereka yang mampu melalui keadaan itu.
  Bagi yang tidak mampu melalui keadaan itu, hanya menangis dalam diam...dan biasanya mereka lebih cenderung untuk menangisi keadaan, tanpa mahu berusaha melepaskannya bersama air mata sedangkan itu adalah lebih baik. Mungkin ada yang akan berkata, cakap senang namun bukan mudah untuk melakukannya.
  MissJay sedar akan perkara ini kerana MissJay juga sedang melalui perkara yang sama. Namun, apabila kita mendahulukan akal dari emosi, semuanya InsyaAllah, akan baik-baik sahaja.
  Sungguh, sejak mencecah usia yang MissJay mula mampu mencipta memori (dan ianya berbeza bagi setiap individu), MissJay sentiasa cuba untuk menjadi anak yang taat kepada ibu bapa.
  MissJay sedaya upaya cuba menjadi anak yang baik walau kewujudan MissJay tidak pernah dipandang. Hingga sekarang, MissJay cuba berbakti dengan menidakkan keinginan MissJay untuk terus bekerja di sini demi menjaga gerangan yang dulu tidak pernah memandang MissJay.
  Tidak berniat mengaibkan sesiapa kerana perkara ini sebenarnya bukan rahsia lagi. Mustahil juga tiada yang tertanya-tanya apa rajuk yang membawa MissJay jauh ke Negeri di Bawah Bayu ini. Ia bukan rajuk, ia hanya memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan hidup seperti yang mereka mahu, walau bukan yang MissJay mahu.
  Sejak kecil, MissJay hanya mahu berada bersama keluarga. Itu impian MissJay. Tidak pernah sekalipun tefikir untuk berada sejauh ini, namun pilihan yang diberikan kepada MissJay adalah pilihan yang tidak mungkin berpihak kepada MissJay.
  Sepanjang melalui hidup dalam bidang kewartawanan ini, MissJay temui pelbagai ragam manusia dengan pelbagai masalah, kegembiraan dan tuah - yang memberi ruang kepada MissJay melihat kehidupan secara berbeza.
  Jika kita merasakan kita bertuah, maka ada yang lebih bertuah dari kita. Tapi, jika kita merasakan diri paling banyak diuji, masih ramai lagi yang tidak putus-putus ujian yang menimpa mereka.
  Yakinlah, yang mendatang itu bukanlah bebanan, sebaliknya adalah tanggungjawab bagi setiap manusia yang bergelar hamba Allah swt untuk melaluinya dengan sabar dan ikhlas.
  Kerana itu, mengadulah padaNYA kerana DIA lebih berhak untuk mendengar tangisan dan rayuan setiap hambaNYA. Dan dengan cara itu, kita semakin dekat padaNYA dan semakin sedar, betapa cintaNYA yang sebesar lubang jarum pun, mampu memberi bahagia yang tidak pernah terbayangkan.
 Subhanallah, agungnya kasihMU.Alhamdulillah atas segala yang Engkau berikan.Allahuakbar, hanya KAU yang berhak menerima perhambaaan kami.
  MissJay kongsikan secebis resah yang mengganggu ini supaya rakan-rakan MissJay sedar, anda sebenarnya bertuah memiliki beberapa perkara yang anda ada jika dibandingkan dengan orang lain.
   Anda juga sebenarnya sedang diuji jika tidak memiliki apa yang orang lain ada. Apakah itu??? Terserah...mungkin keluarga, mungkin ibu bapa, mungkin juga cinta..
  Cuma yang semua orang ada, tetapi mereka tidak sedar mereka memilikinya...DIA YANG SATU...yakinlah padaNYA...

Adios.

No comments:

Post a Comment