Tuesday, April 24, 2012

Menghargai anugerahNYA


MALAM semakin larut tetapi hanya jasad yang akur pada penat. Hati dan minda sungguh tidak bersama diri ketika ini.
   Ini bukan kali pertama resah MissJay menggunung seperti ini, dan MissJay pasti ini juga bukan kali terakhir.
  Bukan kali pertama kerana MissJay selalu susah hati apabila mengetahui insan-insan di sekeliling MissJay berhadapan masalah, terutamanya masalah kesihatan.
  Kenapa pula bukan kali terakhir? Kerana selagi MissJay bernafas, MissJay akan sentiasa bereaksi seperti ini.Kerana MissJay tidak pasti adakah MissJay mampu redha dengan setiap ujianNYA.
  Mummy MissJay bermula dengan demam, tetapi hanya seminggu selepas 'demam', dia dijemput olehNYA. Mungkin memori itu yang turut menyesakkan otak MissJay.
  Kerana susah hati itu, barangkali malam ini MissJay tidak mampu melelapkan mata.
  Tetapi, kalau ditanya apakah status insan yang telah menyebabkan rawan MissJay ini bertamu, MissJay tiada jawapan jelas. Melainkan jawapan, dia salah seorang yang MissJay syukuri kerana dipertemukan dalam hidup yang sesingkat ini. Ya, walau dengan apa nama sekali pun.
  Pada MissJay, kita tidak perlu terlalu berkira dengan meletakkan status yang berbeza-beza untuk seseorang dalam hidup kita. Maksud MissJay, bukan perasaan 'ekslusif', cuma rasa penghargaan.
   Mungkin akan ada yang membantah pendapat MissJay. Namun ini sekadar pendapat.
   Bukan apa, pada MissJay, dalam hidup yang tidak selama mana ini, bukankah lebih baik untuk kita menerima dan menghargai seseorang dengan seadanya dia?
   Allah menemukan kita dengan seseorang, walau dengan apa nama sekali pun, pasti ada manfaatnya. Dan jika kita mahu menjadi salah seorang yang terbaik yang ditemui merka, kita harus lebih dulu kena jadi yang terbaik.
  Cuma, jika hanya kita yang berusaha pula, bagaimana? Itu sebenarnya tidak menjadi masalah kerana hak kita untuk menyenangi seseorang, dan menjadi hak mereka untuk menyenangi kita sehingga ke tahap mana.
  Lumrahnnya, kita pasti akan lebih sayang orang yang rapat dengan kita, kita pasti membenci orang yang mengata kita. Namun, secara tidak sedar, kita menjadi manusia lebih baik dengan kata-kata orang yang membenci (jika ada) itupun kalau kita melihat kata-kata mereka dari sudut positif.
  Pada MissJay, orang yang tidak suka pada kita mencetuskan cabaran dalam diri kita, dan orang yang menyukai kita memberikan sokongan. Jadi, tiada bezanya juga kepentingan mereka. Maksudnya, kalau tiada cabaran, apa yang perlu disokong? Dan kalau tiada sokongan, bagaimana mahu menempuhi cabaran?
  Jadi, kerana itu MissJay katakan, walau dengan nama apa mereka datang - musuh atau sahabat, apatahlagi keluarga - semua ada peranannya, cuma bergantung kepada bagaimana kita melihat kewujudan mereka.
  Percayalah, tidak akan rugi untuk menyayangi setiap makluk ciptaanNYA kerana itu adalah salah satu tanda kita menghargai apa yang diciptaNYA untuk menemani perjalanan kita yang sementara di muka bumi ini.
  Kasih dan sayang adalah amat suci. Sedangkan namaNYA juga adalah MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG..jadi, seharusnya ia tidak mendatangkan keburukan kepada manusia.
  Namun, rasa berat hati MissJay pasti akan menemani hingga pagi. Tapi tetapi sabar melalui malam dengan redha, tanpa mendoakan matahari yang ada aturannya sendiri, untuk muncul lebih cepat.

Adios.

No comments:

Post a Comment