Wednesday, April 18, 2012

iLoveSabah 1 - sipadan..rupa seindah khabarnya...

SEKALI seumur hidup. Itulah ayat terbaik untuk mendefinisikan peluang yang MissJay pernah dapat ini. Seingat MissJay, ianya sekitar penghujung April 2010.
   Ketika segelintir orang hanya berimpian dapat ke pulau yang satu ini, MissJay dengan bangga dapat katakan yang MissJay pernah ke sini. Dan pernah bermalam di sini. Empat hari? :-)
   Walaupun tiada lagi resort selepas dirobohkan pada 2005, peluang berkhemah di sini amat berharga.
   Secara ringkas, MissJay perkenalkan pulau permata Sabah ini.
   Terletak di laut Sulawesi, di luar Pentas Sunda menjadikan Sipadan sebagai pulau lautan tunggal di Malaysia. Bangga orang Sabah!
   Menurut sejarahnya, Sipadan terhasil dari gunung berapi yang memuncak secara menegak dari dasar lautan pada kedalaman melebihi 500 meter. Bentuknya boleh diibaratkan macam cendawan, sekelilingnya laut dalam.
   Berdasarkan sejarah juga, pulau ini terbentuk dari letusan gunung berapi pada zaman Tertiary dan Quartenary di beberapa tempat di Semenanjung Semporna.
   Kalau nak tahu, Sipadan telah diwartakan sebagai Taman Pulau Sipadan pada 1 Oktober 2009 di bawah Enakmen Taman-Taman 1994. Jadi, tiada lagi aktiviti menangkap ikan atau pencerobohan asing seperti sebelumnya. Terkawal, apatahlagi dengan kehadiran polis marin dan tentera di pulau ini. Memang selamat.
   Mungkin ada yang sedia tahu, Sipadan terkenal sebagai destinasi menyelam pilihan pencinta dunia dasar laut dunia.
  Tetapi, memandangkan MissJay tidak berapa gemar air masin dan tiada lesen menyelam, MissJay hanya kongsikan gambar dari darat sahaja. :-)
  Sepanjang MissJay berada di pulau ini pun, ramai penyelam luar negara yang datang. Dan rata-ratanya memberikan reaksi terbaik tentang pemandangan dasar lautnya.
   Tetapi, apa yang perlu kita tahu adalah pulau ini sebenarnya tidak luas. Hanya 16.4 hektar dengan daratan terumbu karang seluas 208 hektar, iaitu 1.4km panjang dan 1km lebar.
   Apa yang boleh ditemui di sini? Sebagai anak Terengganu, MissJay amat teruja bertemu penyu di sini. Ya, penyu. Sebab pada malamnya kami 'skodeng' penyu bertelur untuk dipindahkan ke pusat penetasan penyu. (Miki - nama anak penyu yang MissJay lepaskan malam tu).
   Dan lebih menarik, sepanjang snorkeling di pinggir pantainya, MissJay dapat lihat pelbagai batu karang dan rumput laut yang mengujakan.
  Sebab itu, tidak hairan kalau Sipadan diisytiharkan sebagai salah satu daripada lima lokasi selam skuba terbaik dunia.
  Sayangnya, Sipadan kini diancam hakisan dan entah berapa lama lagi pesisirnya boleh bertahan.
   Sekarang pun, Taman-Taman Sabah hadkan hanya 120 pengunjung sahaja boleh masuk ke sini dalam sehari dan tiada lagi menyelam malam.
   Memandangkan pulau ini diancam hakisan, jika anda berpeluang (dan ada duit lebih) bolehlah berkunjung ke sini.Ambil gambar banyak-banyak sebab tidak mungkin ada pulau lain dapat menandingi keindahan Sipadan.
   Sungguh, MissJay amat bertuah.


asal saja berani dan pandai berenang untuk 'bermain' di tebing

penyu yang sempat kami 'skodeng'

sila percaya...YAYYYYY
banyak pokok-pokok tumbang kerana hakisan...

senja di Sipadan..Maha Suci Allah. Allah Maha Besar.

Terima Kasih kepada Taman-Taman Sabah yang membawa MissJay dan beberapa rakan media lain.

Adios.

1 comment: