Tuesday, April 3, 2012

menghitung purnama

PURNAMA April bakal menjengah, adakah membawa khabaran indah?
  Purnama itu, nyatanya membawa perkhabaran lebih dari sekadar terangnya bulan di langit, lebih menyerlah dari sinar rembulan.
  Purnama itu nanti, membawa berita yang masanya semakin singkat untuk terus menikmati apa yang ada dalam genggaman dan untuk menghulur tangan menyentuh apa yang terjangkau dek tangan.
  Menanti tibanya Julai, tiada yang lebih indah dari melihat senyuman insan yang ditemui setiap hari, yang datang atas pelbagai nama. Biarlah ia bukan dalam keadaan yang diingini, setiap pertemuan tetap ada hikmatnya tersendiri.
  Mungkin anginnya tidak lagi semesra 2 Julai 2005, namun orangnya masih lagi tidak berubah, masih sama. Tetap semesra ketika kali mula-mula bersua.Malah kadangkala dilayan bagai keluarga walau bertemu pada kali pertama.
  Di sini, pernah merasa indahnya mainan rasa, yang difikir mampu memberi bahagia. Di sini juga, mengerti berharganya keluarga, mungkin kerana tidak pernah memilikinya.
  Menghitung purnama seterusnya, harus sambil belajar cara untuk melepaskan, cara melupakan.Kalau bukan semua, beberapa darinya.
  Dari sekeping kertas putih, bersih kepada lukisan berwarna-warni, penuh berseni. Abstraknya usah dilupa, kadangkala tidak terjangkau minda.
  Semakin kompleks penafsiran, semakin matang pemikiran, semakin faham kehidupan.
  Mempelajari segalanya bukan tentang diri sendiri, segalanya bukan tentang memberi. Di sini belajar untuk memahami semua, belajar juga untuk menerima. Membezakan manis penipuan, mengetahui adanya pahit kebenaran.
  Segalanya berlaku bukan hanya usaha sendiri, tetapi sokongan insan yang datang dan pergi.
  Yang perlu ditakut bukanlah bergerak perlahan tetapi tetap berdiri di hentian semalam.
  Datangnya purnama, perantau masih akan tertanya, terang bulan masihkah sama, antara di sini dan di sana?
  Perantau yang datang ketika masih gadis remaja, bakal pulang sebagai wanita, harap semuanya baik-baik sahaja.

No comments:

Post a Comment