Sunday, March 11, 2012

AKNM, tangisku keharuan...

SELAIN keluarga, siapa yang mampu buat anda menangis?
  Bagi MissJay, berbanding menangis kerana keluarga atau meratapi nasib diri, MissJay lebih banyak menangis kerana terharu dengan perhatian dan keprihatinan sahabat-sahabat sejak zaman sekolah hinggalah sekarang. Tetapi, dalam banyak-banyak MissJay menangis, hari ini adalah antara yang paling mengharukan.
  Kisahnya, selepas mandi pagi tadi, MissJay menerima video-call daripada seorang sahabat, Ayu namanya. Melihat muka Ayu pada paparan skrin buat MissJay tertanya-tanya sebab pada malamnya MissJay sudah mimpi jumpa sahabat AKNM MissJay itu.
  Paparan skrin tiba-tiba berpindah ke wajah seorang lagi ahli AKNM, Saie, dalam persalinan pengantin. Baru MissJay teringat, hari ini Saie akan bernikah. Seorang lagi ahli AKNM menamatkan zaman bujang selepas dua yang terdahulu tanpa MissJay sempat berada di negeri kelahiran.
  Sungguh, ketika zaman sekolah lagi MissJay sudah berjanji pada diri bahawa MissJay akan hadir di majlis kahwin mereka sebabnya...kerana mereka MissJay masih hidup.
  Ada yang berkata, itu semua kuasa Tuhan, MissJay hidup kerana AlLah masih bagi MissJay peluang tapi mereka :Ayu, Ana, Jue dan Saie yang menjadi sumber kekuatan MissJay selepas mak MissJay tiada dan MissJay diusir oleh mak tiri.
  Merekalah yang bergilir-gilir mengajak MissJay pulang ke rumah mereka setiap minggu kalau kami balik dari asrama hingga MissJay dapat meneruskan hidup, belajar dan seterusnya masuk universiti. MissJay ingat sampai bila-bila.
  Kala MissJay tiada duit belanja sekolah, mereka dan keluarga, cikgu-cikgu (dan sudah tentu beberapa rakan lain) yang prihatin memberi makanan yang menjadi darah daging MissJay kini...MissJay takkan lupa.
   Kerana itu, bila melihat wajah mereka di skrin telefon, dan bila mereka kata 'bagusnya kalau kau ada'..MissJay tidak dapat menahan air mata yang sudah MissJay jangka akan tumpah juga kalau mendengar suara mereka. Selepas Ana dan Jue, ini perkahwinan ketiga yang MissJay tangisi...bagi MissJay, mereka lebih rapat daripada adik beradik MissJay sendiri.
  Katanya, mereka faham kenapa MissJay tidak dapat balik. Mereka faham apa yang MissJay lalui atas tindakan cetek akal abah MissJay dan meminta MissJay bersabar atas segalanya. Ya AlLah, anugerah persabahatan ini adalah paling berharga dalam hidup MissJay.
  Sungguh, MissJay takut kehilangan mereka. MissJay takut menjadi manusia yang tidak kenang budi. Dan MissJay takut kalau semuanya hanya tinggal kenangan sedangkan kami adalah persahabatan contoh suatu ketika dahulu.
  Ayu, Ana, Jue dan Saie...kalau MissJay perlu korbankan nyawa untuk mereka, MissJay tidak akan berfikir dua kali untuk memberik jawapan 'YA'. Kerana MissJay sayangkan mereka lebih dari segalanya.
   Terima kasih sahabat...bukan sahaja kerana memungut aku dan membersihkan aku hingga aku menjadi diriku sekarang, tetapi juga kerana tidak meninggalkan aku walau apa pun yang berlaku.
  Sungguh, kalau nyawa ini sebagai galang gantinya, tidak aku berfikir dua kali untuk menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga.
  Terima kasih, sahabatku, Ayu, Ana, Jue dan Saie.

hartaku dunia akhirat...

No comments:

Post a Comment