Saturday, February 11, 2012

Lambat kahwin kerana belajar tinggi?

Oleh NIK JASNI CHE JAAFAR
nikjasni.ub@gmail.com

FENOMENA kahwin lewat bukan perkara biasa bagi masyarakat masa kini, terutamanya bagi kaum Hawa yang semakin berani menyaingi keupayaan kaum Adam dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun, tanpa sedar keadaan ini telah memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dan pola populasi penduduk Malaysia dan tentunya, golongan wanita yang berpendidikan tinggi dan bekerjaya dituding sebagai punca kepada keadaan ini.

Kata-kata "belajar sampai universiti tapi sampai sekarang tak juga laku-laku" atau "kawan kau tu dah dua tiga anak, kau masih juga sibuk dengan kerja."

Dua ayat ini mungkin kedengaran seperti cebisan skrip dari drama-drama tempatan tentang anak perempuan yang belum bertemu jodoh, tetapi ia bukan mustahil untuk berlaku dalam kehidupan sebenar.

"Saya fikir, ia bukan tentang tahap pendidikan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan aspek seperti keluarga, persekitaran dan kerjaya. Ada juga perempuan yang tidak belajar tinggi tetapi masih juga lambat berkahwin," kata pengamal media, Fizah Yusof, 27.

Menyifatkan pendidikan adalah nilai tambah pada seseorang wanita, jelasnya, persepsi bahawa wanita terpelajar lambat berkahwin hanyalah stigma yang dicetuskan sendiri oleh masyarakat.

"Saya fikir, lelaki sendiri yang enggan mendekati wanita yang tahap pendidikannya lebih sedikit kerana ingin memelihara ego. Apatahlagi golongan wanita ketika ini lebih berani bersaing dan kadangkala jawatan mereka lebih tinggi sedikit dari lelaki," katanya.

Pemegang Ijazah Sains Pentadbiran dn Pengajian Polisi  dari UiTM Sabah ini berkata, untuk mengaitkan pendidikan sebagai faktor wanita kahwin lewat adalah tidak relevan pada zaman ini kerana ia adalah pilihan masing-masing dan turut bergantung kepada jodoh yang ditetapkan Tuhan.

Mengenai adanya wanita yang terlalu fokus pada kerjaya hingga menolak untuk mempunyai komitmen lain, dia berkata, wanita seharusnya cuba menyeimbangkan hidup mereka.

"Memang bila dah terpelajar, dapat kerja yang baik, mereka akan fokus kepada kerjaya tetapi masih ramai wanita yang membuktikan mereka masih berjaya walaupun sudah berkeluarga...kena bijak seimbangkanlah," tambahnya yang menegaskan perkahwinan adalah sunnah Nabi Muhammad SAW.

Ditanya mengenai tindakan segelintir wanita yang memang meletakkan syarat khas dalam memilih pasangan hidup, katanya, keadaan itu adalah perkara biasa.

"Apabila usia bertambah, pendapat tentang perkahwinan semakin berubah. Jika pada awal 20an, bila sebut tentang kahwin, hanya yang indah difikirkan. Tetapi, bila bertambah tahun demi tahun, perkahwinan mula dilihat datang secara berpakej - suami, anak dan kerja.

Tambah Fizah, rata-rata wanita sebenarnya sedar wang bukanlah segalanya sebaliknya pasangan yang bertanggungjawab mampu memberikan kebahagiaan.

Sementara itu, Sylvia Jocylena Sumping pula mengakui ramai wanita bekerjaya lambat berkahwin namun bukanlah kerana mereka tidak mahu atau tidak komited untuk berumahtangga.

"Rata-rata menunggu waktu dan calon yang sesuai dan kadangkala menunggu yang sesuai itu menuntut tempoh yang lama sehingga menimbulkan pandangan negatif daripada orang ramai.

"Perkara ini sebenarnya bukanlah pelik. Dan keadaan ini juga boleh dijadikan bukti bahawa wanita takut pada komitmen atau tanggngjawab sebagai isteri kerana wanita bekerjaya biasanya mahu sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa yang dibuat mereka.

"Cuma, keadaan ini kadangkala terlalu banyak fikir hingga takut pada kegagalan, takut tidak mampu seimbangkan tanggungjawab antara kerja dan keluarga, takut anak terabai dan suami yang lain, memungkinkan mereka bercerai, anak-anak menjadi mangsa," jelas gadis berusia 24 ini panjang lebar.

Menegaskan berfikir panjang seperti itu adalah untuk kebaikan masa depan, tambahnya, wanita sebenarnya bukan menolak perkahwinan tetapi hanya mempersiapkan diri bagi menerima tanggungjawab berganda.

Menyentuh tentang pengaruh tahap pendidikan, katanya, ada lelaki yang merasa rendah diri apabila berpasangan dengan wanita yang lebih terpelajar dan wanita juga kadangkala ingin mencari teman hidup yang mempunyai pendidikan yang setaraf.

"Jadi,  saya fikir wanita tidak perlu lagi terlalu cerewet, pemilih, 'demanding' kerana pasangan yang baik adalah seseorang yang mampu menjaga kita ketika susah dan senang. Cuma kita tidak boleh cakap duit tak penting walay duit bukanlah segalanya," katanya.

Katanya, jika telah mempunyai calon yang sesuai dan baik, wanita tidak perlulah bertangguh lagi untuk bergelar isteri.

"Harus ambilkira aspek kesihatan, tahap kesuburan wanita tu yang semakin singkat," kata kakitangan Jabatan Penerangan Sabah ini.

Bagaimanapun, memetik kata-kata watak utama filem 'Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami', Nik Melati Sukma Nik Mat yang dilakonkan oleh Haliza Misbun, menjadi andartu bukanlah satu kesalahan selagi tidak menyusahkan sesiapa.

Walaupun memperkatakan tentang isu kahwin kadangkala bagai 'taboo' bagi segelintir wanita, mereka perlu juga sedar bahawa rezeki, jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan, manusia hanya perlu berusaha dan menyerahkan selebihnya kepada Yang Maha Kuasa.
~ends

No comments:

Post a Comment