Monday, February 6, 2012

Andai Itu Takdirnya

Beg yang berisi pakaian itu kusandarkan ke dinding bangunan yang tersergam indah itu. Oh, ini rupanya lapangan terbang yang dibanggakan Malaysia selama ni. Benarlah seperti yang didakwa. Kelihatannya begitu canggih dan mengkagumkan. Aku menarik nafas.
   Tak lama lagi aku akan meninggalkan semenanjung tanah tumpah darahku untuk mengajar ilmu yang takpernah habis nun jauh di negeri di bawah bayu. Debar menaiki pesawat tidak mampu menghilangkan debar hatiku untuk memulakan hidup di tempat baru. Memulakan segala-galanya.
  "Aku tak kisah kalau kau nak sambung belajar. tapi, lepas ni jangan susahkan aku. Aku banyak lagi perkara lain yang nak kena tanggung selain kau," kata ayah seperti menghentak bahuku dengan satu batu yang besar.
   Mak Uda yang tersandar di pintu tersenyum semasa aku balik untuk memberitahu ayah yang aku telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran. Kegembiraan yang kuharapkan nyata menjadi hakikat pahit yang ku terima.
   Rupanya, ketiadaanku selama dua bulan di rumah telah memberi peluang kepada ibu tiriku untuk mengubah ayah. Aku sudah terdengar desas-desus ini daripada adik-adik. Mak Uda kononnya mengusahakan sesuatu untukku. Dan kini aku makin pasti dengan desas-desus itu. Mak Uda sebenarnya mengusahakan jodohku.  
   Dan lelaki yang menjadi pilihan hatinya bukanlah orang lain, anak kepada sepupunya yang tidak aku ketahui apakah kerjanya.
  "Membazir saja belajar tinggi-tinggi. Kalau tak menganggur, di ceruk dapur juga tempat kau," Terlahir juga suara Mak Uda yang langsung tidak ingin aku dengarinya.
   Sejak dia menjadi ibu tiri kami sepuluh tahun lalu, tidak pernah ada satu pun yang dia setuju jika aku yang memilih. Malah, setiap cadanganku pada ayah, dia yang akan meracuni fikiran ayah sehingga kadang kala keputusan yang sudah berminggu berpihak padaku, berubah di saat-saat akhir.
   Apa yang menghairankan, layanannya padaku tidak pula seperti layanannya pada adik-adikku. Aku selalu tertanya-tanya, kenapa aku yang selalu menjadi mangsa. Dan akhirnya segalanya terbongkar bila aku terdengar bicara Mak Uda dengan sepupunya.
  "Anak luar nikah tak perlu dibagi muka. Kalau tak, kita seperti menyokong maksiat, menyokong zina," jelas suara Mak Uda menampar telingaku.
  "Eh, siapa pula anak luar nikah?" tanya Mak Cik Ramlah.
   "Siapa lagi. Itu yang paling besar tu." mulutnya muncung ke arah bilikku tanpa menyedari aku yang berdiri di balik pintu sambil menatang dulang air.
   Jantungku tersentak. Kalau selama ini aku tidak mengambil kisah tantang semua yang kudengar, kali ini kurasakan ianya agak melampau. Kenapa dia sesuka hati menuduhku anak luar nikah? Siapa dia untuk  menuduhku yang bukan-bukan.
  "Mana kau tahu ni Uda? Jangan buat cerita pulak" Suara Mak Cik Ramlah yang begitu meninggi seperti merenyuk hatiku.
  "Semua orang dalam kampung dah tahu. Dia lahir masa Abang Johar jadi buruh kat Singapura nun. Masa Abang Johar kerja kat sana." Nafasku mula turun naik. Itukah saja bukti mereka? Itukah sahaja ayng membolehkan mereka menuduh aku macam-macam? Namun, yang lebih pedih, arwah ibu yang diumpat semakin membakar amarahku.
  "Mak saya lahirkan saya masa ayah tak ada. Tapi masa mak saya mengandungkan saya, ayah masih ada kat sini," kataku, membela diri.
  "Tapi kau tak ada surat beranak kan? Kau baru buat kad pengenalan kan? Jadi apa maknanya?" Lantang suara Mak Uda memecah gegendang telingaku. Ikutkan hati, mahu saja ku tampar mulut tua yang tak habis-habis membawa cerita tentang keluarga kami. Padahal dia sendiri telah menjadi sebahagian dari keluarga yang diumpatnya ini.
  "Mak Uda susah kenapa? Saya tak minta pun Mak Uda jadi saksi apa-apa. Mak Uda tak rugi apa-apa pun," aku tahu kata-kataku agak kurang ajar tetapi maruah aku dan aemak harus aku pertahankan.
  "Tak rugi apa! Orang kata aku jaga anak haram. Nasib baik anak sepupu aku nak kahwin dengan kamu. Kalau tak jangan harap kamu jadi bini mana-mana jantan lepas ni. Tak pun kamu jadi sundal," bergegar bumi kurasakan saat mendengar kata-kata Mak Uda. Walau hatiku menggila mahu menjawab katanya, akalku masih lagi menimbang untuk membuat pertimbangan waras. Sudahlah aku dituduh begitu, jangan lagi tuduhan itu bertambah dengan yang baru. Langkah ku atur keras menuju ke bilik. Niat untuk menghidang air terbantut. Kalau sudah begini, berbuat baik hanya menyakitkan hati.
  "Tengoklah...Biadap semacam. Orang cakap, melawan," walau pintu bilik sudah tertutup, keras suara Mak Uda tetap juga memecah suasana.


Hidup Baru

Aku kembali tersedar bila bahuku dicuit. Rakan sekolah yang menerima tawaran daripada universiti yang sama meluruskan jari telunjuk ke arah papan digital yang menunjukkan senarai pesawat yang akan berlepas. Aku melihatnya dipeluk ibu dan ayah yang dari tadi tidak habis-habis memberikan pesanan-pesanan kepadanya yang bakal bergelar perantau seperti diriku. Ada cemburu di sudut hati. Sebak juga tiba-tiba kunjung walau hati dari tadi menahan mata yang semakin pijar menakung air hangat itu.
'Selamat tinggal Semenanjung. Doakan aku akan pulang dengan selamat suatu hari nanti,' bisik hatiku tatkala pesawat mula menerjah membelah awan.
Perjalanan selama dua jam tiga puluh minit ku isi dengan renungan ke luar jendela. Seketika tadi, aku berbual dengan wanita di sebelahku. Dia juga yang mengajarku bagaimana mahu memasang tali pinggang keselamatan. Terasa diri begitu kerdil dalam arus teknologi ini.
   Bagaimanapun, kembara ku ke tanah bertuah ini adalah demi cintaku kepada bidang penulisan, kepada cita-cita yang telah ku luahkan kepada arwah emak.
Tersedar dari lamunan, aku tersenyum sendiri apabila memikirkan kata-kata temanku, Syifa siang tadi. Syifa, teman yang kukenali ketika aku menjejakkan kaki ke Bumi Di Bawah Bayu ini benar-benar membuatku berfikir panjang. Benarkah aku begitu sukar didekati?
  "Ingat sikit. Sekarang sudah 23,esok lusa 24. Bila lagi nak cari teman?" Soalnya sambil tangannya ligat menyuap ayam KFC ke mulut. Aku hanya mengukir senyum tanpa memandangnya.
  "Tak sempat," jawabku ringkas. Ah, Syifa!Dia bukan tidak mengerti. namun dia memang sengaja mahu menguji lautan kesabaranku menjalani hidup yang agak berbeza berbanding teman-teman lain.
  "Tak sempat ke memilih?" Aduh! Pedih juga kata-katanya. Namun aku masih mampu bertahan. tambahan pula, sepertinya ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan soalan begini. Kerap berdepan dengan soalan ini membuatkan aku sentiasa bersedia dengan jawapanku yang aku pasti, ramai yang tidak dapat menerimanya.
  "Kau pun tahu apa yang aku cari kan?" ucapku membuatkan mulut yang rancak mengunyah terhenti seketika. Syifa diam. mugkin cuba mengingat kembali apa yang pernah aku katakan padanya dulu.
Ini bukan kali pertama soalan itu terlahir dari ulas bibirnya dan soalan itu akan terus berlegar antara kami selagi aku masih bergelar 'single'.
  "Kau memang orang yang complicated!" Katanya memecah hening taman. Aku kembali tersenyum. Sukar? Benarkah? Serasa diriku, aku bukanlah sesukar mana. Aku mengakui, aku wanita yang menyusun baju mengikut warna, menyusun barangan mengikut saiz. Adakah itu sukar?
  "Atau aku tunggu putera dari kayangan?" sambung Syifa lagi. Aku merenungnya.
  "Kau ada calon untuk aku?" soalannya ku balas dengan soalan. Syifa terdiam. Aku mengerti. Antara kami berlima, aku, Syifa, Julia, Zalina dan Ayu, aku yang masih belum berpunya. Namun itu tidak menjadi masalah bagiku. Masih banyak perkara yang perlu aku fikirkan selain menjerat diri dalam perangkap komitmen dengan mana-mana lelaki.
  "Kau kenal sesiapa yang bercermin mata, tak merokok dan minat bersukan? kalau ada, kenalkanlah dengan aku," Aku menanti reaksi Syifa. Dia seperti termenung panjang.
  "Khairul!" Pantas nama itu terkeluar dari bibirnya. Khairul? Bekas rakan sekelas kami? Tidak mungkin. Lelaki itu sudah aku lupakan sejak aku tahu dia menyukai Julia dan kini, walau Khairul dan Julia sudah tiada apa-apa hubungan, aku tak akan menjejakinya.
  "Atau kau masih menanti Amri?" Aku menelan liur. kenapa nama itu juga yang disebut? Kenapa nama yang semakin aku terlupa itu kembali mengisi laman diari bicara kami hari ini.
  "errr...aku salah cakap ke?" Wajah serba salah Syifa membuat aku tersedar.
  "Tidaklah..It's ok. Entahlah Syifa...." Dan kami terus terdiam. Barangkali tahu dirinya telah tersilap lidah, Syifa juga terus mendiamkan diri. Maafkan aku teman.

Cinta Pertama

21 Januari, Berakhirnya kisah cinta pertamaku dengan insan bernama Amri. Seingatku, sejak dari tarikh keramat itu, hampir lima kali aku merayunya supaya tidak memutuskan hubungan. Namun, katanya aku bakal menggapai awan, dan dirinya hanyalah rumput di bumi yang akan dipijak-pijak.
  "Saya tak kisahpun kalau awak tak dapat masuk U." Jelasku cuba meyakinkannya.
  "Tapi saya kisah sebab awak akan masuk U" Aku terkedu. hanya itu alasan yang memutuskan hubungan kami selama dua tahun itu. Amri memberiku pilihan, samada menyambung pelajaran atau membina hidup bersamanya.
  "Awak pilihlah, awak nak stay kat sini dan hidup dengan saya atau awak nak sambung belajar dan kita habis setakat ni?"Aku menelan liur. Ternyata Amri memberi pilihan yang sukar untukku. Hati remajaku membara memujuk diri memilih cinta. Namun, akal yang waras mengingatkan aku akan esan arwah emak yang memintaku mengejar ilmu setinggi mungkin.Dan hasilnya aku di sini sekarang. Di Negeri Di Bawah Bayu ini.  Menjadi salah seorang penuntut universiti tercantik di Asia Tenggara ini. namun,sepertimana kata semua orang, cinta pertama akan dikenang selamanya.
  "Amri..walau saya rasa ini sebab yang paling bodoh untuk awak buang saya, saya terima. Kita habis setakat ni," Ucapku perlahan. Hati yang kasih memaksaku membuang ego menagihnya kembali. Namu percubaan sebanyak lima kali itu ternyata sia-sia.
Dan kini, tiga tahun aku mencuba, masih juga hatinya belum berganjak dari mempertahankan ego lelakinya yang tidak mahu mempunyai teman yang lebih terpelajar darinya.
  "Memang tak boleh?" Tanyaku pada Amri.
  "Ya. Memang tak boleh!" Dan itulah jawapannya yang ku dapat dalam tempoh tiga tahun ini. Pada teman-teman, ku katakan aku punyai syarat untuk mencari teman istimewa tetapi tanpa mereka sedar, aku sebenarnya sudah kecewa dengan cinta pertama.

Wasiat

Saat emak menghadap Ilahi, dunia ku rasakan kelam. Hanya teman-teman terutamanya Syifa, Julia, Zalina dan Ayu yang menjadi nadi kekuatanku. Dan dahulu, ketika ada Amri, dia juga menjadi obor semangat hidupku. Setahun selepas ketiadaan emak,ayah mengmbil keputusan berkahwin lagi dan demi adik-adik, aku tidak membantah. Namun, pilihan tak selalunya tepat. Ku fikir, beban akan semakin berkurang, namun emosiku pula yang semakin terganggu.
   Mak Uda yang dulu begitu ramah denganku ketika kali pertama bertemu dulu begitu berbeza kini. Sikapya semakin menjadi-jadi setelah aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sini. Langkahku ke universiti langsung tidak diizin ayah. Ayah memang begitu. Dia tidak menyukaiku sejak aku masih masih dalam kandungan emak. Apatahlagi setelah berkahwin dengan Mak Uda, Ayah semakin tidak mempedulikanku.
  "Kau bukan anak dia. Sebab tu kau tak dilayan" Kata Mak Uda sambil menjelingku. Aku menarik nafas. Aku sudah muak dengan cerita itu. Cerita yang aku kononnya bukan anak ayah. Cerita kononnya emak mengandungkanku sewaktu ayah berkerja di tempat lain. Barangkali ayah lupa yang setiap bulan dia akan pulang ke rumah. Barangkali dia juga lupa yang emak pada waktu itu mengandungkan benih cinta mereka.
  "Mana Mak Uda dapat cerita ni?" Aku meneguk air tanpa menoleh ke arahnya.
  "Satu kampung tahu cerita ni. Macam mana pula aku boleh tak tahu" Ah, Mak Uda! Sejak dulu memang dia tidak sukakanku. Selain diusik dengan statusku itu, dia juga sebenarnya ada agenda lain yang sangat aku mengerti. Kelmarin, aku terdengan bicaranya sama ayah. Katanya, jika aku ke universiti, akan menelan belanja yang bagus. Jadi, Mak Uda mencadangkan supaya aku dinikahkan sahaja dengan anak sepupunya. Aku tergamam. Mak Uda sendiri tidak kukenali sehabisnya, aku pula yang mahu dijodohkan dengan anak sepupunya. Pada ayah aku suarakan kata hati. Aku tetap akan ke universiti walau apa kata ayah atau Mak Uda.
   "Aku tak pula nak menghalang. Cuma satu aku nak ingatkan,jangan sesekali menyusahkan aku nanti!" Aku tekesima. Sampai hati ayah termakan kata-kata Mak Uda. Padahal, aku pasti ayah dapat mengesan yang Mak Uda memang mahu membolot duit ayah. Barangkali ini adalah kesan gula, beras dan serbuk kopi yang disimpan dalam bungkusan kuning dalam almari Mak Uda. Bungkusan kuning yang pernah ku tukar isinya.
  "Aku suruh kahwin, taknak! Sekarang, pandai-pandai la kau urus hidup" aku mengertap bibir. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku melumat-lumat mulut tua itu. Namun, akal waras menyedarkan aku. Aku bakal meninggalkan adik-adikku dengannya, jadi aku harus bersabar. walau tanpa keizinan, aku tetap menghayun langkah panjang meredah Laut China Selatan demi masa depan adik-adik dan wasiat ibu.

Kepulangan
Panggilan dari ayah tadi benar-benar menggembirakanku. Katanya dia akan menungguku di lapangan terbang esok. Sejak ayah dan Mak Uda bercerai, ayah seperti terbangun dari mimpi. Katanya, dia tiba-tiba seperti terlepas dari satu rantai yang menyekat kerongkongnya untuk berbicara selama ini.
"Nanti ayah tunggu di airport. Jaga diri baik-baik!" Mendengar suara ayah sudah cukup menggembirakanku. Apatahlagi dalam tempoh tiga tahun berada di perantauan, hanya sekali aku pulang ke rumah. Itupun hanya sehari. Semuanya kerana Mak Uda. Namun, gembiraku melonjak-lonjak bila ayah memberitahu yang dia akan menyambut kepulanganku.
"terima kasih ayah. Meen minta maaf kalau Meen susahkan ayah selama ni"
"Ayah pun mohon maaf dari Meen. Ayah tahu Meen anak yang baik. Satu perkara Meen kena tahu, Meen memang anak ayah.Maafkan ayah ." sebak ayah di telefon mengundang tangisku. Benarlah kata orang, air dicincang tidak akan putus. Apatahlagi darah yang mengalir dalam tubuhku adalah darahnya.
"Meen yang kena minta maaf, minta ampun dengan ayah. Meen yang banyak buat ayah susah dari kecil sampai sekarang" Air jernih itu tidak mampu lagi ku takung. Mengalir ia membasahi pipi yang agak cengkung.  
   Mungkin tidurku sehari dua ini tidak cukup kerana terlalu excited dengan peperiksaan tahun akhirku. Selepas meletak telefon, aku merenung jam. Ada beberapa jam lagi sebelum aku bertemu ayah. Selepas tiga tahun, aku akan bertemu ayah yang selama ini ku harap mampu berbangga dengan kejayaanku.
   Ayah yang selama ini ku harap mampu mengangkat muka bila mendengar cerita tentang anak orang lain yang belajar di U. Dalam asyik menghitung sisa-sisa masa yang masih tinggal sebelum berlepas, aku tertidur.
   Aku dikejutkan oleh panggilan terakhir pesawat untuk ke Kuala Lumpur. Mata yang mengantuk dan otak yang letih membuatku separuh sedar. Aku akan pastikan aku akan menggukan peluang di dalam pesawt nanti untuk melunaskan hutang tidurku. Tanpa kusedari masa berlalu begitu pantas dan pesawat akhirnya mendarat di lapangan terbang LCCT. Bagasi besar itu kutarik. Mata yang masih kuyu mencari kelbat orang yang diharap-harapkan. Nun diseberang jalan,dapat ku lihat kelibat ayah yang memakai baju kemeja ungu yang ku hadiahkan kepadanya setahun lalu. Masih baru.
 "Ayah!"Tanpa mempedulikan orang ramai yang masih menunggu teksi, aku menarik beg untuk melintas jalan. tanpa ku sedari, roda kecil bagasi itu tertanggal dan bagasiku tersangkut di besi keselamatan di tepi lantai koridor. Aku terjatuh dan tanpa sedar, terasa badanku seperti dirempuh sesuatu. Mataku berpinar dan hanya suara ayah memanggil namaku menjadi bunyi terakhir yang ku dengar.Maafkan Meen, ayah. Terpaksa susahkan ayah lagi. Harap ayah bangga dengan ijazah yang Meen usahakan. Meen akan sampaikan salam ayah pada emak. Buat adik-adik, jagalah ayah dengan baik, dan jangan lupa sembahyang. Belajar rajin-rajin. Kakak dah cuba yang terbaik dan sekarang giliran adik-adikku yang tersayang pula.

(terima kasih buat Kawaii Diya..i rasa semangat gila dah sekarang)

No comments:

Post a Comment