Saturday, February 11, 2012

moga kita dianugerahkan cintaNya

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah  Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Alhamdulillah, aku bersyukur atas setiap helaan nafas yang membolehkan aku terus menapak di muka bumiMu dan membolehkan aku terus menjadi hambaMu.
Kerna itu Tuhanku, aku malu untuk terus meminta-minta darimu, bila sedar aku tidak putus meminta namun tiada apa yang ku berikan kepadaMu sebagai tanda syukurku, selain kalimah Alhamdulillah.
Tamakku mengharap dariMu tanpa sedia berkorban atau melepaskan sedikit pun dari apa yang kumiliki, yang sememangnya milikMu, sebagai tanda terima kasihku.
Tapi, aku tiada siapa-siapa selain Engkau, untuk memahami setiap rasa yang mengisi rongga kehidupanku, tekadku, senduku, dalam ratap mengharap belasMu.
Dan aku berakhir dengan terus meminta kepadaMu.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Adil  dan Maha Bijaksana,
Sungguh, aku malu untuk terus berkata-kata, mengucapkan apa yang telah Engkau tahu sebelum mulutku sempat terbuka, yang telah Engkau ketahui sebelum terlintas di hatiku.
Namun, rasa ini tidak mampu aku bendung lagi, dan Kau sendiri Maha Mengetahuiya.
Buat kesekian kali, aku mohon padaMu, untuk terus membuka ruang kasihMu pada hamba yang hina ini.
Ruang kasihMu yang sentiasa diharapkan umat manusia yang sedar akan nilai anugerah cinta dariMu.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat,
Tidak aku mempersoalkan apa yang telah Engkau sediakan untukku, tidak juga aku persoalkan jalan hidup yang sesukar ini, kerana janjiMu, apa yang Engkau berikan adalah dalam keupayaan setiap hambaMu.
Cuma, Ya Allah, hamba yang hina ini ingin terus meminta, kurniakanlah secebis cintaMu untuk aku terus berdiri teguh pada jalanMu, menerima qada dan qadar yang telah tertulis untukku, kerana tanpa pandangan cintaMu, tidak mungkin aku mampu melangkah.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengasihani,
Tidak ingin aku bertemuMu dalam keadaan yang seperti ini, dengan iman yang tidak mampu menjamin jawapan kewujudanku di hadapanMu nanti.
Aku merinduiMu, Tuhanku. Namun malu untuk kembali padaMu dalam keadaan seperti ini.
Adakah telah ku berikan apa yang harus kuberikan? Sudah terlaksanakah erti kewujudanku seperti yang dituntutMu, seperti yang dijanji olehku sebelum melihat dunia?

Ya Allah, Engkau Yang Maha Memahami,
Kau mendengarku sebelum ku sebut namaMu, Engkau melihatku sebelum ku seru namaMu, Kau selalu memberi sebelum aku memintanya, hingga aku malu untuk terus meminta dariMu.
Namun, Engkau lah zat yang Maha Pemurah dan Engkau tidak pernah memungkiri janji.
Izinkanlah aku terus berada pada jalanMu, Ya Rabbi.

Engkau Yang Maha Mengetahui, tetap juga tahu apa yang ada di lubuk hati. Aku mahu bertemuMu, dengan hati yang hanya padaMu, hanya padaMu, Tuhanku.
Sungguh, aku bersyukur dilahirkan sebagai hambaMu dan tetapkanlah hatiku padaMu kerana aku takut untuk tidak berada dalam pandangan kasihMu.
Sesungguhnya, hidupku, matiku, ingin aku serahkan padaMu, ya Tuhanku..dengan penuh redha.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengasihani,
Kerana semuanya adalah milikMu, aku memintaMu, kurniakanlah keredhaan itu kepadaku, agar melepaskan segalanya dengan tenang.
Dan peliharalah aku dalam cintaMu..kerana kini, aku tiada sesiapa dan tiada apa-apa selain Engkau.
Amin.Ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment