Sunday, February 5, 2012

Jelaskan Jika Aku Perlu Berhenti

LAMA menanti SMS yang tidak terbalas, aku kembali menatap skrin komputer yang sebenarnya langsung tidak mampu meraih perhatianku. Kenapa harga SMS darinya sangat mahal. Mungkinkah kerana aku terlalu menanti atau kerana dia memang seorang yang tidak gemar membalas sebarang SMS? Aku sendiri lupa ini sudah kali ke berapa SMS dariku tidak pernah dibalas namun, kata seorang teman, jika kau mengganggunya setiap hari dan tiba-tiba kau berhenti, dia tentu akan mencarimu. Macam wayang hindi pula. Tapi, jawabku, bagus juga kalau dia mencari, bagaimana kalau dia rasa hidupnya makin 'bebas' dari cengkaman SMS 'gila' yang tidak henti-henti mengganggunya?Aku sendiri juga yang merasa rugi. Sedang mata terus tertancap pada skrin komputer, mindaku jauh menerawang mengimbas lima tahun yang telah kutinggalkan. Lima tahun yang tidak pernah tiada kelibat, wajah atau suaranya. Ah, gilakah aku?
Ingatku, SMS itu cukup ringkas. 'Can I Send U a Teacher's Day Card?"-namun mempunyai komplikasi rasa yang sukar untuk diterjemahkan tentang usahaku untuk mengzahirkannya dengan kata-kata. Sukarkah juga baginya untuk memberi jawapan?
"Aku suka dia!"Jelas suaraku ketika kami mula keluar dari dewan besar yang berbentuk seperti topi Cina itu, lima tahun lalu. Aku juga tidak pasti kenapa rakan-rakanku memanggil dewan itu Topi Cina memandangkan aku tidak pernah pula memberi perhatian penuh kepada bentuknya melainkan rasa selesa berada di dalamnya. 'Aircond'nya sejuk,kerusinya empuk.
"Itu?Kau suka dia?Entah-entah laki orang," jawab rakanku yang berulangkali membetulkan seragam batik yang dipakainya. Jelas sekali dia tidak selesa dengan saiz baju yang menjadi miliknya sejak dua hari lepas. Sufi, itu nama manjanya.
"Yang itu fikir kemudian..buat masa sekarang, aku suka dia.." tegasku sambil memanjangkan leher mencari gerangan yang dimaksudkan. Tiada. Aku sudah terlepas walau untuk melihat kelibatnya. Tidak mengapa,esok aku akan cari lagi kelibatnya sepanjang minggu suai mesra ini.Itu tekadku.

II

Menjadi junior memang seronok. Tahun pertama kami berlalu dengan sempurna. Cuma ada beberapa senior yang mengjengkelkan menyebabkan kami berazam untuk menjadi senior yang terbaik. Ya, kami ada ratu senior  yang sangat dibenci di kalangan kami dan aku yakin, sampai bila pun dia akan kekal dalam senarai 'UNWANTED' kami. Dia memang tidak diperlukan walau untuk pertolongan sebesar zarah. Tahun pertama biasanya kami lebih didedahkan kepada perkara teori dan lebih banyak berada dalam bilik kuliah. Namun, sebagai junior, kami selalu diwajibkan untuk menghadiri apa-apa majlis rasmi di universiti. Di kala rakan-rakan rasa terbeban, aku menghitung setiap detik agar dapat melihat si dia.
"Termenung apa lagi ni?"Tepukan keras di bahu menyedarkan aku dari lamunan. Fikiran yang mengembara kembali berada di depan komputer, di ruang pejabat yang sesak dengan timbunan suratkhabar. Cuping telinga mula menangkap suara-sura yang memenuhi ruang kerja kami. Sudah ramai rupanya yang sampai. Aku mengangkat muka. Sya merenungku.
"Kenapa?Ada apa?"Ah, terserlah pula 'kehilangan'ku dari dunia sedar. Bagaimana aku mampu berada di sini jika fikiranku sentiasa mahu bersama dia. Mungkin benar apa yang Sya cakap, aku makin gila selepas kami menamatkan pelajaran di universiti. Gila kerana tiada 'kelibat' yang mampu memberi semangat supaya aku tidak menjadi 'gentayangan' rasa yang terus menghantui sepanjang hidupku.
"Saya nak guna tempat ni..jadi, silalah beralih tempat," tegasnya.Ah, terlupa pula aku.Dengan minda yang masih berat, aku beralih ke meja sebelah.Empunya meja tersebut tiada di pejabat kerana pulang ke kampung. Mejaku? Tidak perlu, aku lebih suka hidup secara nomad begini.
"Aku nampak dia tadi," terpacul kata-kata itu dari bibirku.Padahal sudah aku berjanji pada diri sendiri tidak mahu mengungkit tentangnya di depan sesiapa. Namun, semakin aku cuba, semakin aku akan berbicara tentang dia.
"Siapa?" Mata Sya membuntang. Adakah dia tertarik seperti apa yang dijelaskan reaksinya sekarang?Tanpa mahu menduga kebenaran reaksinya, aku melepaskan satu keluhan berat.
"Aku di universiti kita tadi," hanya itu jawapanku, mengharap dia mampu meneka gerangan yang dimaksudkan. Lama dia terdiam walau aku tahu dia memang ada jawapan untuk teka yang aku berikan itu.
"Ada lah kau bergambar dengan dia?"Aku menggeleng sebelum dia menghabiskan soalannya. Dia terus fokus pada kerjanya tanpa mempedulikan aku yang semakin hanyut dalam ingatan sendiri. Kenapa mesti aku di sana sejak akhir-akhir ini? Kenapa ketika aku semakin mahu melupakan dia, aku semakin kerap ditakdirkan bertemunya?
"Sya, kau rasa dia dah kahwin?" Hanya untuk menyedapkan hati, soalan itu yang kuberikan buat sahabat yang sentiasa sudi mendengar kisahku dari tahun pertama di universiti.
"Kenapa kau tak tanya dia.Kau ada nombor dia kan?"Kalaulah aku seberani itu. Walau kata emak, aku antara anaknya yang berani kerana mampu melangkah sejauh ini, tapi aku juga kadangkala menjadi pengecut dalam beberapa hal.Termasuk yang ini. Dan, aku juga berpendapat bukankah ia sesuatu yang seharusnya dimulakan lelaki? Padahal aku telah menghantar beberapa SMS kepadanya.
"Kau rasa dia akan jawab ke?"Jemariku mula kembali menari di atas papan kekunci, cuba mencari perkataan terbaik untuk memulakan tugas penulisan pada hari itu. Namun, yang keluar hanyalah dua perkataan. Dua perkataan yang mewakili namanya.Tuhan, aku semakin terdera dalam persoalan yang aku sendiri tidak pasti akankah ada jawapannya.
"Sudahlah wei..kerja..kerja...Melangut macam tu, lusa pun belum tentu siap rencana kau tu,"Sya sudah menghanyutkan diri dalam dunia penulisannya sambil ditemani lagu-lagu Korea yang aku dapat pastikan dari rentak yang sayup-sayup menerobos keluar dari fon telinga yang dipakainya. Ketika seluruh isi pejabat leka dengan tugasan masing-masing, aku masih cuba membebaskan diri cengkaman memori yang penuh dengan ingatan terhadapnya, agar aku mampu meneruskan sehari ini tanpa perlu dilingkari persoalan yang tiada kesudahan.

III

Masih juga tiada balasan. Adakah dia sengaja atau aku telah tersalah nombor?Telefon bimbit yang tidak bersalah ku lempar ke tilam. Khabarnya dia sakit.Benarkah?Khabarnya dia kecewa.Betulkah? Jika aku sedia untuk menjadi kawan 'gila-gila', mahukah dia memberi ruang walau sedikit? Terlalu banyak persoalan yang jawapan itu sudah pasti bukan pada aku. Teringat pula kata-kata Sya ketika kami sampai tadi. Katanya, jangan sampai aku menutup pintu lain hanya kerana melihat dia sebagai destinasiku. Aku hanya mengangguk, tidak pasti sama ada menerima atau mengiyakan.
"Hingga kini, aku belum mampu membuang dia dari fikiran.."desis hati yang tidak sudah diserang rusuh. Jujur aku penat untuk memilikinya dalam mindaku, namun akan lebih penat jika membuangnya dari laman diari hidupku. Jika aku lelah kerana mengingatinya, aku akan lebih lelah untuk melupakannya. Jika kamera perlukan bateri AA untuk berfungsi, aku juga perlukan AA untuk terus berdiri. Tapi, bagaimana jika semuanya menjadi benar, jika dia benar-benar bertamu di laman hidupku dan tetap di situ? Bersediakah aku untuk menukar semua imaginasi dan persoalan kepada realiti dan jawapan? Mampukah aku bahagia dengan kenyataan jika selama ini aku hanya hidup dalam mimpi-mimpi yang aku sendiri menciptanya?Ketukan di pintu mematikan lamunan serius yang berpanjangan dari peristiwa pertemuan pagi tadi.Aku menyelak daun pintu.
"Aku nak keluar dengan Myra..Kau nak ikut tak?" Aku menggeleng sambil merenung Sya yang sudah menukar baju. Dalam keadaan begini, aku risau makanan akan merajuk jika hanya beberapa sudu sahaja yang mampu menerjah ke ruang rongga leherku. Segalanya tawar, setawar perasaanku selepas melihatnya pagi tadi. Tidak bersyukurkah aku dengan perasaan manis sebelum ini? Tidak!Aku cuma tertanya-tanya. Ketika ramai yang menghabiskan kredit untuk mengundi calon pilihan mereka dalam rancangan realiti tv, tidak kurang pula yang membazirkannya dengan menyertai laman sembang online, rupanya masih ada yang begitu 'berkira' dengan satu pesanan ringkas.
"Kalau macam tu, kami jalan dulu la..kalau kau rasa nak makan apa-apa, kau SMS je la nanti," jelas Sya. SMS lagi. Aku agak tertekan dengan perkataan itu. Malah, kerana itu juga sejak akhir-akhir ini aku mendapat 'penyakit' baru. Penyakit malas membalas SMS. Biar semua orang tahu bagaimana rasanya bila SMS mereka tidak dibalas seperti yang aku alami.Kejamkah aku kerana melampias rasa tidak puas hati kepada orang lain yang tidak bersalah? Padahal aku tahu jawapannya, namun tidak mampu aku menafikan yang hanya itu boleh meredakan apa yang terbuku di hati.

IV

Langkahku termati di depan lif, menunggu pintunya terbuka. Termasuk hari ini, entah kali ke berapa aku menjejakkan kaki ke sini. Jika dulu dalam seragam batik biru yang diberikan kepada kami ketika pendaftaran pelajar untuk dipakai ketika Minggu Suai Mesra, kini tidak lagi. Kali ini aku tampil lebih bebas berjeans dan berbaju T. Mendengar beberapa suara di belakang, aku mematikan MP3 yang memainkan himpunan lagu-lagu Korea kegemaranku.
"Harap-harap sekejap lagi dia sampai," ucap lelaki yang bersut hitam kepada seorang lelaki dan wanita yang bersama di hadapan pintu utama bangunan itu. Walau hanya dari belakang, aku mengenali susuk tubuh itu. Ya Tuhan, dia rupanya! Aku terkaku. Ketika pintu lif terbuka luas, aku masih terkaku di sana, melihat dia dari belakang. Sungguh, rasa asing itu tidak mampu aku usir kalau kejadian ini berulangkali berlaku dalam hidupku. Kenapa aku yang ke sini? Dan aku makin keras mempersoal rencana Tuhan dalam minda yang semakin kalut dengan jutaan rasa yang berbaur. Ketika pintu lif hampir terkatup, aku menahannya dan melangkah masuk meninggalkan dia yang ingin ku buang namun makin ingin ku simpan dalam memoriku.
"Di sini majlis tu kan?Dah mula?" Tanyaku kepada seorang kakitangan yang kemas memakai kot hitam yang kemudian menunjukkan tempat untukku. Seperti aku sahaja yang 'kampung' dalam majlis korporat ini. Adakah aku telah menjatuhkan imej organisasi kami dengan muncul sebegini? Melihat beberapa tetamu yang separa formal membuat aku menarik nafas lega. Syukurlah aku masih selamat dalam majlis ini.
Sambil menunggu kemunculan VIP pada hari itu, mindaku menerawang lagi. Menerobos terowong masa ketika bergelar pelajar tahun kedua. Ketika itu, kami telah mengadakan majlis berbuka puasa dan dia adalah salah seorang tetamu khas. Malam itu juga, telah membuatku nekad untuk melupakan dia kerana melihatnya begitu disenangi di kalangan senior wanita. Benar aku cemburu namun itu hanya lumrah hati kecil wanita. Salahkah aku melayan fitrah kejadianku yang mudah terusik hatinya? Bertitik tolak dari majlis itu juga, aku cuba untuk tidak menghadiri setiap majlis yang tersenarai namanya sebagai jemputan. Tapi ternyata itu hanya mahuku kerana lain pula hal yang berlaku.
"Diumumkan ketibaan tetamu kita pada hari ini, Sayed...."Aku tersedar dari lamunan. Melihat sekeliling menimbulkan tanda tanya. Kenapa hanya beberapa kerat sahaja yang ada pada hari ini? Aima, teman seperjuangan dari organisasi berbeza yang sejak tadi berada di sebelahku mengukir senyum.
"Tak ramai pulak kan?" Soalku kepada Aima. Dia mengangkat bahu. Aku meluruskan pandangan ke pentas. Dia dan tetamu itu kini mengambil tempat. itu rupanya orang yang telah mengundang resahnya di hadapan pintu utama tadi. Hanya beberapa minit bertahan, aku mengeluarkan telefon bimbit tanpa mempedulikan mata tetamu itu yang seperti memerhatikan tindakanku yang tidak memberi perhatian kepada ucapannya.
"People can say  what the want to say, or even can do what they want to do. All the best, mister!Aja-aja fighting!" Mungkin itu ayat terbaik untuknya ketika itu. Aku sendiri tidak pasti namun berkat bantuan Aima, hanya itu SMS yang paling ringkas ku rasa untuk menggambarkan bahawa aku peduli dengan setiap apa yang berlaku padanya. Agak lama menahan jari untuk menekan kekunci 'Hantar' aku menggagahkan diri untuk berbuat demikian. Dan tentunya tanpa mengharapkan dia membalas. Kalaulah dia tahu, aku peduli dengan apa yang berlaku ketika pelancaran taman botani dulu dan aku peduli dengan jumlah tetamu pada hari ini. Atau mungkinkah dia sebenarnya tahu?

V
Kad undangan berukir dakwat emas itu ku pandang sepi. Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak kad sedemikian mencari kami, aku dan Sya. Tanpa peduli dengan soalan yang muncul bersama kad itu, kami meneruskan hidup seperti biasa. Atau mungkin hanya seperti biasa untuk aku sahaja. Dia pastinya punya cara sendiri untuk jadikan hidupnya berbeza dari 'cara bosan' milikku. Cara membosankan yang menjadi milikku hanyalah dengan mengharap akan mendapat balasan SMS tersebut. Walau hanya satu perkataan, apa pun ia, cukup bermakna untukku.
Ketika ramai rakan yang sudah bergelar ibu, mungkinkah aku masih terperangkap dalam dunia remaja yang menjadikan aku begitu teruja untuk terus memuja sesuatu yang mungkin tidak pernah ditakdirkan untukku? Dan, helaan nafas panjang menjawab persoalan yang mendera benak.
Aku bukan lagi pelajar tahun satu yang meletak perasaan di merata sudut kehidupan. Bukan lagi pelajar tahun dua yang mula mencari pasangan untuk bercinta sebagai jaminan apabila sudah bergelar graduan dan bukan juga pelajar tahun tiga yang sibuk mencari pilihan terbaik dalam kerjaya dan teman hidupnya. Aku kini seorang wanita di pertengahan 20an yang sibuk melemaskan diri dalam kerjaya untuk melupakan wajah seseorang yang pernah dirakam dalam kotak memori lima tahun lalu. Memori indah yang kadangkala mampu menyakitkan.
"Biarlah walau secara rahsia, ia masih seperti kali pertama aku melihatnya," jelasku pada Sya yang menjadi diariku sepanjang lima tahun ini. Dia hanya diam. Apa lagi yang boleh diucapnya? Namun, tiba-tiba dia bersuara;
"Paling penting, kau kena jelas tentang hati kau sendiri. memang kau suka dia atau hanya jalan untuk buat kau lupa pada orang lain?" Orang lain? Siapa? Aku tiada siapa-siapa yang perlu dilupakan kerana semuanya bermula sebagai suatu yang tidak perlu diingati.
Entahlah...tapi, yang aku tahu. Aku suka dia...Harap dia akan jumpa orang yang akan jaga dia
Dan, kepadanya yang membaca kisah lima tahun dalam lima bahagian ini, mungkinkah dia ada penjelasan untuk membolehkanku mencapai kata putus. Dan jika dia bertanya, kenapa aku begitu 'mengejar'nya, hanya satu jawapanku; kerana aku tidak sanggup melihat dia terus disakiti dengan 'kata-kata' atau mendengar kisah tidak 'mesra' tentangnya. Dia berhak untuk mendapat seperti apa yang dimiliki insan lain dan aku ingin menjadi salah seorang yang dekat dengannya.
"Atau perlu aku berhenti?" soalku pada Sya yang sibuk melayan SMS dari teman istimewanya.
Berhenti?Sesuatu yang telah lama mahu kulakukan namun sampai kini aku masih terperangkap di dalamnya. Kau, perlukah aku berhenti?

*cerpen ini pernah tersiar dalam Utusan Borneo pada Mei 2010.

No comments:

Post a Comment