Monday, February 6, 2012

menginjak semalu kehidupan

JIKA sebelum ini MissJay hanya mempamit rakan-rakan seperjuangan yang mengucapkan selamat tinggal kepada bidang ini, MissJay kini merasakan seperti MissJay akan tinggalkannya juga...tetapi itu hanya perasaan MissJay kerana hakikatnya, di mana MissJay menggali rezeki, di situlah MissJay tetap akan bergelar penulis.
   MissJay sudah sedar, penulis itu tidak semestinya secara rasmi, yang menerima bayaran untuk setiap penulisan kerana selagi MissJay menulis, dan ada rakan-rakan yang membacanya, MissJay tetap penulis.
   Persoalan demi persoalan tentang masa depan kerjaya MissJay meninggalkan seribu satu pertanyaan kepadamengenai susu galur perjalanan hidup yang menanti MissJay selepas ini. Walau tidak menyesal, Missjay perlu juga bersedia dengan sebarang kemungkinan.
   MissJay sendiri sebenarnya tak pasti berapa lama akan berada dalam dunia ini, dalam kancah penulisan ini.  
   Namun ketika jemari MissJay rancak menarikan rentak tango di papan kekunci inim hati MissJay tetap pada dunia penulisan - atau lebih tepat, kewartawanan.
   MissJay tetap begini, menghumban diri dalam timbunan kisah manusia yang pelbagai ...dicerna menjadi berita dan kemudian menerima gaji pada hujung bulan.
   Kata arwah emak, MissJay patutnya menjadi cikgu , profesion yang memberi jaminan sepanjang zaman. itu juga pendapat abah (walau MissJay tidak pasti dia memaksudkannya atau sebaliknya)..tetapi semua itu tidak memberikan kesan kepada keputusan MissJay untuk bercita-cita menjadi wartawan, belajar kewartawanan dan benar-benar menjadi wartawan. Alhamdulillah, Ya Allah.
  Cinta MissJay pada bidang penulisan, tiada kata yang dapat gambarkannya. MissJay sedar, diri ini semakin larut dalam dunia penulisan.
   Cinta  pada kepelbagaian rasa yang ditemui setiap hari, cinta pada ketinggian erti kehidupan yang berlainan setiap waktu MissJay  hadapi...ketika MissJay  berkata tiada cinta, MissJay sebenarnya sedang bercinta..bercinta dengan kerjaya MissJay.
   Sungguh MissJay sudah  terlanjur .Terlanjur memasuki kancah ini..dan langkah kaki MissJay seperti tidak mampu dihayun kembali ke pangkal melainkan berhenti dan membuka langkah baru jika langkah sekarang tidak mampu diteruskan.
  Tapi, mampukah MissJay  berhenti dari langkah ini walau ada lautan semalu di hadapan menanti, bersedia menusuk tapak kaki yang masih baru memijak dunia penulisan?
   Sesungguhnya, ketika rakan-rakan  mengucapkan selamat tinggal, MissJay baru sahaja mengucapkan salam perkenalan kepada bidang ini...salam perkenalan kepada dunia penulisan yang kini menjadi salah satu unsur dalam hemoglobin darah MissJay...kerana ini bukan hanya perjuangan untuk bangsa, malah secara peribadi, perjuangan diri MissJay dalam mencari makna kehidupan sendiri daripada kehidupan mereka...
   Mencari makna, adakah sesuatu yang hilang dan sesuatu yang tidak pernah dimiliki itu adalah dua perkara yang sama maksudnya?
  Dalam hidup, tidak perlu berjalan jauh untuk melihat betapa kita bertuah memiliki sesuatu. Renunglah dalam diri, lihat di mana kita berdiri dan mereka yang sentiasa ada di sekeliling kita, menyokong kita. Dan, melangkahlah dengan yakin, kasih Allah SWT sentiasa ada untuk hamba yang beriman kepadaNya.

Adios.

No comments:

Post a Comment